fb fb fb fb fb

Macron cadang resolusi PBB untuk tamatkan sekatan Odessa

BRUSSELS, 1 Jun - Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Olaf Scholz telah menggesa Presiden Rusia Vladimir Putin supaya menamatkan sekatan di pelabuhan Odessa, Ukraine berdasarkan terma resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang bakal disusulkan.

"Saya mencadangkan kepada Presiden Putin, dalam perbincangan yang kami adakan dengan Olaf Scholz Sabtu lalu, supaya kami mengambil inisiatif merangka resolusi di PBB untuk merumuskan rangka kerja yang jelas kepada operasi ini," kata Macron selepas Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah di sini.

(Presiden Perancis Emmanuel Macron bercakap kepada media di Brussels pada 31 Mei 2022/AFP)

Bandar pelabuhan Odessa, merupakan pelabuhan Laut Hitam terakhir yang masih dikuasai Ukraine.

Pencerobohan Rusia di Ukraine telah menjejaskan bekalan bijirin dunia, menyebabkan harga makanan melonjak dan mengancam untuk memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Afrika dan Asia Barat.

Tentera Ukraine bagaimanapun telah menanam periuk api di sekitar lokasi strategik manakala armada angkatan laut Rusia menghalang trafik kargo daripada tiba di Ukraine.

Bawah cadangan Macron, resolusi PBB akan menyediakan rangka kerja untuk membersihkan kawasan pelabuhan daripada periuk api agar penghantaran bijirin dapat disambung semula.

Macron memberi penghormatan kepada peranan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam mencari penyelesaian dan berkata Rusia telah "menjanjikan" rundingan dengan jirannya di Laut Hitam iaitu Turki. -AFP

Media Baharu