WASHINGTON, 1 Jun- Kumpulan K-pop terkemuka Korea Selatan, BTS menyampaikan ucapan yang menyentuh isu jenayah kebencian anti-Asia di Amerika Syarikat (AS).
Kunjungan mereka ke Rumah Putih menjadi platform terbaik menzahirkan kekecewaan terhadap peningkatan kes kebencian di AS.
Dalam masa sama, mereka juga meminta agar masyarakat antarabangsa sentiasa bertoleransi dan menghormati perbezaan warna kulit dan agama.
Menurut Rumah Putih, Biden mengeluarkan jemputan bagi membincangkan keperluan bersolidariti melibatkan penyertaan dan perwakilan daripada Asia.
Ini juga bertujuan menangani jenayah kebencian serta diskriminasi anti-Asia yang menjadi isu panas sejak kebelakangan ini.
Sentimen keganasan dan anti-Asia di AS semakin menular sewaktu pandemik COVID-19.
(Kumpulan BTS ketika berucap di Rumah Putih/ AFP)
Bekas Presiden AS, Donald Trump mempersalahkan pandemik COVID-19 berpunca dari Wuhan, China dan menggelarnya sebagai 'virus China'.
Bahkan, menggelar virus berbahaya itu sebagai 'kung flu'.
Trend berkenaan mendorong berlaku jenayah keganasan sehingga membawa kepada insiden paling buruk berlaku di Atlanta apabila seorang lelaki bertindak menembak mati lapan orang di spa.
Enam daripada mangsa merupakan wanita Asia.
Rumah Putih turut memuji peranan kumpulan BTS sebagai duta belia dengan menyebarkan mesej harapan dan positif ke seluruh dunia. -AFP