fb fb fb fb fb

Lula mahu perkasa kebajikan komuniti Orang Asli Amazon

Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 5 April- Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, pada Jumaat mengakui bahawa pemerintahannya perlu memperkasa kebajikan komuniti orang asli yang hidup di hutan hujan Amazon, demi kelangsungan mereka.

Lula, yang akan menjadi tuan rumah persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di bandar Amazon, Belem pada November ini, menyatakan demikian ketika melawat perkampungan Ketua Raoni Metuktire, tokoh Orang Asli Amazon yang terkenal di peringkat global.

Pemimpin berhaluan kiri Brazil itu, yang meletakkan perlindungan Amazon sebagai antara keutamaan pentadbirannya, memuji peranan penting yang dimainkan oleh komuniti orang asli dalam menangani perubahan iklim.

Pertemuan dengan Raoni, yang telah mengembara ke seluruh dunia untuk memperjuangkan nasib hutan hujan Amazon, berlangsung hanya beberapa hari sebelum ribuan Orang Asli Brazil dijadual berkumpul di ibu negara, Brasilia, bagi menghadiri satu perhimpunan besar.

Sejak kembali memegang jawatan presiden pada tahun 2023, Lula menyambung semula usaha mewartakan kawasan hutan Amazon sebagai wilayah perlindungan orang asli, satu dasar yang sebelum ini dihentikan oleh pendahulunya yang berhaluan kanan, Jair Bolsonaro.

Namun, pemimpin-pemimpin komuniti orang asli mengadu bahawa proses pewartaan itu terlalu perlahan.

Data rasmi menunjukkan bahawa wilayah orang asli yang diwartakan, di mana aktiviti pembalakan adalah satu jenayah yang masih berterusan termasuk pencerobohan pertanian dan perlombongan haram.

Dalam pertemuan itu, Raoni turut menggesa Lula untuk membatalkan rancangan projek minyak luar pesisir berskala besar di muara Sungai Amazon yang sedang diusahakan oleh pentadbiran Lula.

Lula berpendapat bahawa pengeluaran minyak itu penting bagi pertumbuhan ekonomi terbesar Amerika Latin.

Namun, komuniti orang asli bimbang projek itu akan membawa kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap hutan hujan dan mencemarkan sungai-sungai di kawasan tersebut.

Aktivis alam sekitar turut memberi amaran bahawa projek itu akan meningkatkan jejak karbon Brazil pada ketika dunia sedang berdepan pemanasan global yang luar biasa – faktor yang menurut saintis turut menyebabkan kebakaran hutan besar-besaran di Amazon tahun lalu.

"Saya tahu kamu sedang memikirkan tentang minyak di bawah laut itu,” kata Raoni kepada Lula.

"Tetapi jika kita kekalkan keadaan seperti sedia ada, kita boleh lindungi alam sekitar, dengan pencemaran dan pemanasan yang lebih rendah," tambahnya.

Projek di kawasan luar pesisir yang dikenali sebagai Equatorial Margin itu kini masih menunggu kelulusan daripada agensi perlindungan alam sekitar Brazil.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM