fb fb fb fb fb

Lula isytihar Brazil berkabung, beri penghormatan kepada Zagallo

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva (kiri) bersama Mario Zagallo (depan kanan) dalam satu majlis/FOTO AFP

RIO DE JANEIRO, 7 Januari- Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva mengisytiharkan negara berkenaan berkabung selama tiga hari bermula Sabtu susulan kematian legenda bola sepak dan pemenang empat kali Piala Dunia, Mario Zagallo.

Zagallo yang beraksi bersama-sama mendiang Pele ketika menjuarai Piala Dunia pada 1958 dan 1962 meninggal dunia pada Jumaat selepas mengalami kegagalan organ dalaman.

Hospital Barra D'Or yang mengesahkan punca kematian Zagallo berkata mendiang sering mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selepas disahkan menghidap pelbagai komplikasi kesihatan sejak beberapa bulan lalu.

Lula memberikan penghormatan dan pujian kepada mendiang yang turut dikenali sebagai 'Serigala Tua' (Old Wolf) yang membimbing skuad terhebat dalam sejarah bola sepak Brazil pada 1970 bagi menjuarai Piala Dunia.

Mendiang turut bertindak sebagai penolong jurulatih ketika skuad 'Selacao' itu sekali lagi memenangi Piala Dunia pada 1994.

"Mendiang Zagallo merupakan pemain dan jurulatih terhebat sepanjang masa", kata Lula dalam kenyataan.

"Dia (Zagallo) mengajar erti keazaman, ketabahan. Selain makna cinta dan dedikasi bagi meningkatkan martabat bola sepak Brazil dan dunia", tambah Lula menerusi kenyataan itu lagi.

Sementara itu, ucapan penghargaan dan penghormatan kepada mendiang turut diterima dari serata dunia.

Ketua Persekutuan Bola sepak Dunia (FIFA), Gianni Infantino menganggap Zagallo sebagai seorang 'genius' taktikal bola sepak susulan kejayaannya membawa pasukan Brazil menjauarai Piala Dunia sebanyak lima kali.

"Mendiang akan diingati sebagai 'Godfather' bola sepak Brazil dan pemergiannya akan sentiasa dirindui semua.

"Kisah tentang Piala Dunia tidak akan lengkap tanpa kisah Mario Zagallo", kata Infantino lagi.

Hanya terdapat beberapa individu yang memenangi Piala Dunia selaku pemain dan jurulaih antaranya ialah legenda Jerman,Franz Beckenbauer dan Didier Deschamps dari Perancis.

Dalam pada itu, Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) akan melaksanakan bertafakur selama seminit pada perlawanan akan datang bagi mengenang dan memperingati Zagallo.

Kematian Zagallo menambah kesuraman terhadap bola sepak Brazil yang masih lagi berduka akibat kematian Raja Bola Sepak Dunia, Pele yang meninggal dunia setahun yang lalu.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD