(Foto AFP)
QUITO, 21 Mac- Lima stesen televisyen di Ecuador menerima kiriman bom surat yang ditujukan kepada wartawan.
Menteri Dalam Negeri, Juan Zapata berkata satu daripadanya meletup, namun tidak menyebabkan kemalangan jiwa.
Pejabat pendakwa raya memaklumkan, pihaknya telah membuka kertas siasatan ke atas jenayah keganasan itu.
Tetapi tidak mendedahkan secara khusus lima stesen TV berkenaan menjadi sasaran.
Sampul itu dihantar dari bandar Quimsaloma, di wilayah pantai Los Rios. Tiga dihantar ke Guayaquil di barat daya dan dua ke ibu kota Quito.
"Peranti itu sememangnya sama di semua lima tempat," kata Zapata kepada pemberita.
(Polis sedang memeriksa bahan letupan selepas peranti meletup di
premis saluran Ecuavisa di Guayaquil, Ecuador pada 20 Mac 2023/Foto AFP)
Di bandar pelabuhan Guayaquil, wartawan Lenin Artieda dari stesen TV swasta Ecuavisa menerima sampul surat mengandungi pemacu pen, meletup apabila dia memasukkannya ke dalam komputer, menurut majikannya.
Artieda mengalami kecederaan ringan di sebelah tangan dan muka, kata pegawai polis, Xavier Chango. Tiada orang lain yang cedera.
Menurut Chango, pemacu USB yang dihantar kepada Artieda itu mungkin dimuatkan dengan RDX, bahan letupan jenis tentera.
Satu lagi pakej yang ditujukan kepada wartawan Carlos Vera telah dipintas oleh polis di sebuah syarikat kurier di Guayaquil dan tidak sampai ke destinasinya.
Di tempat lain, di Guayaquil di barat daya Ecuador, pejabat pendakwa berkata bom surat juga dihantar ke pejabat TC Television.
Terdapat mesej yang sangat jelas iaitu untuk menutup mulut wartawan.-AFP