fb fb fb fb fb

Aktivis Albert Ho ditangkap lagi

(FOTO FAIL)

HONG KONG, 21 Mac- Salah seorang aktivis hak asasi yang paling popular di Hong Kong telah ditangkap oleh polis pada Selasa kerana didakwa mengganggu saksi, kata sumber polis kepada AFP.

Albert Ho, 71, dahulunya mengetuai Perikatan Hong Kong, menganjurkan acara nyalaan lilin tahunan selama lebih tiga dekad untuk meratapi mangsa tindakan keras berdarah China di Dataran Tiananmen pada 1989.

Peguam itu sudah berdepan hukuman penjara sehingga sedekad atas pertuduhan 'hasutan' bawah undang-undang keselamatan negara, yang dikenakan Beijing ke atas Hong Kong pada 2020 untuk memadamkan protes pro-demokrasi.

Ho ditahan pada Selasa kerana 'didakwa mengganggu saksi' semasa diikat jamin, kata sumber itu, yang bercakap dengan AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Perbicaraan dalam kes subversi itu belum selesai, dan Ho telah diikat jamin pada Ogos selepas menghabiskan hampir setahun di penjara.

Syarat ikat jaminnya termasuk perintah bisu atau 'gag order' pada sebarang ucapan yang dianggap mengancam keselamatan negara.

Pelanggaran syarat jaminan boleh menyebabkan penahanan serta-merta bawah undang-undang Hong Kong.

Penahanan Ho adalah yang terbaru dalam siri tangkapan berprofil tinggi bawah undang-undang keselamatan negara, termasuk abangnya Fred Ho, yang mewakili aktivis hak buruh Elizabeth Tang Yin-Ngor.

Tang, setiausaha agung Persekutuan Pekerja Domestik Antarabangsa, telah ditangkap kerana disyaki "bersubahat dengan pasukan asing", satu kesalahan keselamatan negara.

Selepas dibebaskan dengan ikat jamin, polis menahan Fred Ho dan adik perempuan Tang kerana disyaki berkomplot untuk memesongkan jalan keadilan.

Kedua-duanya telah dibebaskan dengan jaminan.-AFP


(Albert Ho / FOTO FAIL)

Media Baharu