GAZA, 17 Februari- Kementerian kesihatan di Gaza berkata lima pesakit meninggal dunia pada Jumaat akibat kekurangan oksigen di salah satu hospital diserbu tentera Israel.
"Lima pesakit dari unit rawatan rapi telah meninggal dunia akibat penghentian penjana yang menyebabkan bekalan oksigen terputus.
"Kami menganggap pendudukan Israel bertanggungjawab ke atas nyawa pesakit dan kakitangan memandangkan kompleks itu kini berada di bawah kawalan mereka sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan.
Ini turut menimbulkan kebimbangan bagi empat pesakit lain yang dimasukkan ke unit itu dan tiga kanak-kanak di taska.
Seorang saksi, yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang akan keselamatan mereka, berkata tentera Israel menembak "ke arah sesiapa sahaja yang bergerak di dalam hospital" dan "kenderaan tentera mengelilingi" turut melepaskan tembakan.
Pada Khamis, kementerian berkata ratusan orang, termasuk pesakit dan kakitangan perubatan, masih berada di dalam kompleks hospital.
Tentera Israel berkata ia telah melancarkan operasi "tepat" di hospital selepas menerima "perisikan yang boleh dipercayai" bahawa tebusan telah ditahan di dalam hospital dan mayat tebusan mungkin berada di kemudahan itu.
Kemudian tentera berkata ia belum menjumpai sebarang bukti mengenai perkara ini itu walaupun pasukan telah menemui "senjata, bom tangan dan bom mortar" di kompleks hospital.
Pada lewat Jumaat, tentera berkata mereka menemui ubat dengan nama tebusan Israel di hospital.
"Sumber ubat-ubatan dan penggunaannya sedang disemak," katanya.
Sementara itu, tentera Israel menafikan mereka telah menyasarkan penjana dan berkata bahawa semua sistem penting terus beroperasi di hospital walaupun penjana rosak.
"Tentera IDF bekerja untuk membaiki generator manakala... pasukan khas membawa masuk generator alternatif ke hospital," tambah tentera.
Selama berminggu-minggu, ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan telah berlindung di kompleks hospital Nasser.
Badan amal perubatan Doctors Without Borders berkata pada Khamis bahawa tembakan ke atas hospital itu telah memaksa kakitangannya melarikan diri, meninggalkan pesakit.- AFP