KYIV, 17 Februari - Tentera Ukraine dilaporkan telah berundur dari timur bandar Avdiivka ketika keadaan pertahanan di bandar berkenaan semakin merosot, kata Jeneral Oleksandr Tarnavasky, pemerintah kawasan tersebut pada Sabtu.
Pengunduran tentera Ukraine itu merupakan simbolik penting bagi Rusia menjelang ulang tahun 24 Februari bermulanya pencerobohan sejak ia merampas Bakhmut Mei lalu.
"Berdasarkan situasi operasi di sekitar Avdiivka, untuk mengelakkan pengepungan dan keselamatan nyawa dan kesihatan anggota kerahan, saya memutuskan untuk menarik balik unit kami dari Avdiivka dan bergerak ke pertahanan yang lebih baik" kata Tarnavsky di Telegram.
“Dalam situasi di mana musuh sedang mara, ni adalah satu-satunya keputusan yang tepat,” katanya.
Keputusan pengunduran tersebut merupakan keputusan penting kali pertama yang dilakukan oleh ketua tentera baru Ukraine Oleksandr Syrsky berikutan pelantikannya pada 8 Februari lalu.
"Askar kami melaksanakan tugas mereka dengan bermaruah, melakukan segala yang mungkin untuk memusnahkan unit tentera Rusia yang dan menyebabkan kerugian besar kepada musuh," kata Syrsky di Facebook sejurus sebelum pengumuman Tarnavsky.
Avdiivka, yang mempunyai kira-kira 34,000 penduduk sebelum pencerobohan Rusia, mempunyai nilai simbolik yang penting.
Bandar perindustrian itu terletak di wilayah Donetsk di Ukraine, yang menyaksikan pertempuran paling teruk dalam pencerobohan hampir dua tahun oleh Rusia dan didakwa oleh Kremlin sebagai sebahagian daripada Rusia. -AFP