fb fb fb fb fb

Lima maut dalam letupan 'jenayah terancang' di Ecuador

(Anggota keselamatan membuat pemeriksaan di kawasan letupan / AFP)

QUITO, 15 Ogos- Lima orang maut dan 16 yang lain cedera dalam satu letupan pada Ahad di bandar pelabuhan Ecuador, Guayaquil dalam serangan yang disifatkan kerajaan sebagai jenayah terancang.

Presiden Guillermo Lasso mengisytiharkan darurat di bandar Guayaquil yang kedua terbesar di negara itu.

Dalam letupan tersebut, lapan rumah dan dua kereta musnah.

Lasso memberi amaran di Twitter bahawa kerajaannya yang baru berusia setahun sama sekali tidak membenarkan jenayah terancang cuba mengawal negara itu.

Keadaan darurat berkuat kuasa mulai Ahad di bandar pantai barat daya itu, dan akan berlangsung selama 30 hari, kata Setiausaha Keselamatan Diego Ordonez pada satu sidang akhbar.

Menteri Dalam Negeri Patricio Carrillo berkata, lima yang maut telah dikenal pasti dan tiada seorang pun yang mempunyai rekod jenayah.

Tambahnya, mereka yang cedera dalam letupan itu dipercayai "tentera upahan jenayah terancang," yang terlibat dalam pengedaran dadah.

“Ia adalah pengisytiharan perang terhadap negara,” tambah Carrillo di Twitter.

Terletak di antara Colombia dan Peru, dua pengeluar kokain terbesar di dunia, Ecuador menghadapi gelombang jenayah yang didorong oleh dadah yang telah mendorong sejumlah situasi menakutkan, termasuk mayat dipenggal tergantung di jambatan.

Ketegangan antara kumpulan dadah yang bersaing telah mencecah penjara Ecuador, di mana pertempuran dan pembunuhan beramai-ramai telah meragut sekurang-kurangnya 400 nyawa sejak Februari 2021.

"Sama ada kita menghadapinya (jenayah terancang) bersama-sama, atau masyarakat akan membayar harga yang lebih tinggi," kata Carrillo.

Ecuador pada 2020 menyumbang 6.5 peratus daripada semua kokain yang dirampas di dunia, menurut angka terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dan tahun lepas, negara dengan 18 juta orang itu menyaksikan kadar pembunuhan meningkat iaitu 14 kes pembunuhan setiap 100,000 orang, melonjak hampir dua kali ganda daripada kadar 2020. -AFP


(Keadaan rumah yang rosak akibat letupan pada Ahad / AFP)

Media Baharu