fb fb fb fb fb

Delegasi anggota Kongres AS tiba di Taiwan ketika ketegangan China memuncak

(Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Amerika Utara, Kementerian Luar Taiwan, Douglas Hsu
menyambut wakil AS, John Garamendi di Lapangan Terbang Taipei Songshan di Taipei/ REUTERS)

TAIPEI, 15 Ogos- Delegasi Kongres Amerika Syarikat (AS) tiba di Taiwan bagi lawatan dua hari, di mana mereka akan bertemu dengan Presiden Tsai Ing-wen.

Rombongan itu adalah kumpulan peringkat kedua tertinggi yang melawat Taiwan di tengah ketegangan ketenteraan berterusan dengan China, 12 minggu selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi.

Kedutaan umum AS di Taipei memaklumkan, delegasi terbabit diketuai Senator Ed Markey diiringi empat anggota kongres lain yang disifatkan sebagai sebahagian daripada lawatan terbesar ke rantau Indo-Pasifik.

"Delegasi ini akan bertemu dengan pemimpin kanan Taiwan bagi membincangkan mengenai hubungan AS-Taiwan, keselamatan serantau, perdagangan dan pelaburan, rantaian bekalan global, perubahan iklim serta beberapa isu berkepentingan bersama," katanya.

Pejabat Presiden Taiwan berkata, rombongan itu bertemu Tsai pada pagi hari ini.

"Ketika China meningkatkan ketegangan di Selat Taiwan dan rantau ini dengan menjalankan latihan ketenteraan, Markey yang memimpin delegasi ke Taiwan sekali lagi menunjukkan sokongan kukuh Kongres AS terhadap Taiwan," katanya dalam kenyataan.

Jurucakap Markey memaklumkan, beliau mempengerusikan Jawatankuasa Kecil bagi Perhubungan Luar Senat Asia Timur, Pasifik dan Keselamatan Siber Antarabangsa.

Pemimpin lain yang turut serta dalam lawatan itu adalah John Garamendi dari Kumpulan Kerja Kawalan Senjata dan Senjata Nuklear serta Don Beyer.

Jelasnya, dengan kehadiran penggubal undang-undang itu, Taiwan akan memperkasakan lagi sokongan AS terhadap negara berkenaan berdasarkan Akta Hubungan Taiwan, Penyataan Bersama AS-China dan Enam Jaminan selain menggalakkan kestabilan serta keamanan di Selat Taiwan.

Delegasi itu juga dijangka bertemu dengan pemimpin dan ahli sektor swasta bagi membincangkan hal kepentingan bersama termasuk mengurangkan ketegangan di Selat Taiwan serta mengembangkan kerjasama ekonomi dalam pelaburan dan semikonduktor.


(Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Amerika Utara, Kementerian Luar Taiwan, Douglas Hsu (tengah)
bersama wakil AS,Alan Lowenthal, John Garamendi, Don Beyer dan Aumua Amata Coleman
Radewagen di Lapangan Terbang Taipei Songshan di Taipei/ REUTERS)

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih berkata, anggota kongres sudah mengadakan lawatan ke Taiwan sejak berdekad lalu dan akan terus berbuat demikian, sambil menambah bahawa lawatan itu sejajar dengan dasar Satu China yang sudah lama wujud di AS.

Menerusi dasar itu, AS mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Beijing, bukannya Taiwan, namun Washington tidak mengambil pendirian sama ada Beijing memiliki kedaulatan ke atas Taiwan selain terikat di bawah undang-undang AS bagi menyediakan Taiwan dengan cara untuk mempertahankan dirinya.

Sementara itu, Kedutaan China di Washington berkata, anggota kongres AS harus bertindak selaras dengan dasar Satu China-kerajaan AS .

Mereka juga menegaskan bahawa lawatan terbaru Kongres ke Taiwan sekali lagi membuktikan bahawa AS tidak mahu melihat kestabilan di Selat Taiwan serta tidak berusaha mengurangkan konfrontasi antara kedua-dua pihak.

Beijing yang selama ini mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya menjalankan latihan ketenteraan di sekeliling negara berkenaan selepas Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi melawat Taipei pada awal bulan ini. - REUTERS


Media Baharu