fb fb fb fb fb

Lima maut, 35 cedera dalam kebakaran bangunan di Hong Kong

Orang ramai melihat berhampiran bangunan kediaman tempat kebakaran berlaku di sebuah gim di daerah Kowloon, Hong Kong/ REUTERS

HONG KONG, 10 April- Kebakaran berlaku di sebuah bangunan kediaman yang padat penduduk di daerah Kowloon di Hong Kong telah menyebabkan lima terbunuh dan 35 lagi cedera, kata pihak berkuasa hospital dan bomba di bandar itu.

Mangsa di dalam bangunan 16 tingkat itu melambai dengan menggunakan tuala di tingkap untuk mendapatkan bantuan untuk diselamatkan , kata penyiar RTHK sambil menambah bahawa kebakaran bermula di sebuah gim di sana.

Beberapa jalan di sekitarnya terpaksa ditutup mengakibatkan gangguan lalu lintas pada waktu pagi yang sibuk.

Kira-kira 150 orang telah dipindahkan ke tempat selamat, manakala 40 orang dihantar ke hospital awam, kata kerajaan bandar itu.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa untuk melakukan usaha "sepenuhnya" untuk merawat mangsa yang cedera, sementara punca kebakaran sedang disiasat.

Kebakaran, yang dinilai tiga dalam sistem lima gred di bandar itu, dapat dikawal pada 8.54 pagi (waktu tempatan), sejam selepas bomba dimaklumkan mengenai kebakaran di Jordan, kawasan yang dipenuhi rumah dan pejabat di kawasan yang terletak bertentangan dengan pusat kewangan.

Sekurang-kurangnya enam daripada yang cedera berada dalam keadaan serius, dengan seorang dilaporkan kritikal, kata pihak berkuasa hospital.

Anggota bomba masih bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran besar yang berasingan 15 jam selepas ia meletus di tapak bangunan di utara Wilayah Baru, menurut jurucakap perkhidmatan bomba, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI