WASHINGTON, 2 Disember- Lima lagi gelandangan menjadi mangsa tembakan 'tanpa sebab' di Las Vegas semalam, kurang seminggu kejadian sama yang membunuh tiga gelandangan sedang tidur.
Leftenan Jason Johansson berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian terbaharu itu kira-kira pukul 5.30 petang semalam waktu tempatan.
Dua daripadanya maut ketika menerima rawatan di hospital, manakala tiga lagi cedera.
Bagaimanapun, polis mengatakan kedua-dua kejadian tersebut mungkin tiada kaitan.
"(Kejadian) ini agak berbeza. Jadi saya tidak cenderung untuk mengatakan bahawa ia berkaitan.
"Tetapi jika siasatan kami membawa ke laluan itu, maka kami akan 'pergi' ke sana, namun buat masa sekarang tidak," jelas Johansson.
Amerika Syarikat merekodkan lebih 500 insiden tembakan besar-besaran tahun ini melibatkan lebih empat mangsa cedera atau terbunuh, menurut organisasi Arkib Keganasan Senjata. -AFP