BANDA ACEH, 2 Disember- Lebih 100 lagi pelarian Rohingya dilapor telah mendarat di pantai perkampungan Ie Meulee dekat Aceh, Indonesia, hari ini.
Ketua Kampung Ie Meulee, Dofa Fadhli bagaimanapun berkata, penduduk mengancam untuk menolak pelarian bersama botnya kembali ke laut.
“Apabila saya tiba, pelarian Rohingya sudah berada di pantai. Jumlahnya sekitar 139 orang. Terdapat kanak-kanak, wanita dan lelaki dewasa," katanya.
Difahamkan, bot pelarian terbabit tiba di perairan Indonesia kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan.
Tambah Fadhli, kumpulan terbaharu itu akan ditolak semula ke laut jika masih mereka berdegil dengan arahan supaya meninggalkan daratan.
“Kami penduduk Ie Meulee menolak sekeras-kerasnya kedatangan pelarian Rohingya.
“Sekiranya dalam masa diberikan iaitu sehingga tengah hari ini masih tiada tindakan, maka kita akan mengembalikan pelarian Rohingya ke bot mereka," ujarnya.
Jelas Fadhli, bantuan sementara seperti pakaian dan makanan telah dihulurkan oleh komuniti kampung atas dasar kemanusiaan.
Dalam pada itu, Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Faisal Rahman berkata, pegawai bertanggungjawab sedang dalam perjalanan ke pulau itu.
“Kami akan menyelaraskan keadaan dengan kerajaan tempatan,” katanya.
Lebih enam buah bot pelarian telah tiba di Aceh sejak 14 November dengan pemerhati memaklumkan lebih banyak bot sedang dalam perjalanan. -AFP