fb fb fb fb fb

Lewotobi Laki-Laki di Indonesia meletus, lebih 2,000 dipindah

Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia/AFP

MAUMERE, 3 Januari- Lebih 2,000 penduduk di timur Indonesia dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di tengah-tengah peningkatan aktiviti gunung berapi di kawasan tersebut.

Gunung Lewotobi Laki-Laki di wilayah Nusa Tenggara Timur telah berulang kali meletus dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk letusan pada Isnin lalu yang memuntahkan abu gunung berapi setinggi 1.5 kilometer (km) dari atas puncaknya, menurut Pusat Vulkanologi dan Pengurangan Risiko Geologi (PVMBG).

Agensi itu merekodkan satu lagi letusan dari Lewotobi Laki-Laki semalam.

Pegawai daerah Flores Timur, Benediktus Bolibapa Herin berkata, abu gunung berapi telah menjejaskan dua daerah kecil berhampiran gunung terbabit, mendorong ribuan penduduk berpindah.

“Terdapat 1,931 mangsa dipindahkan di daerah Wulanggitang dan 328 lagi bagi daerah Ile Bura.

“Disebabkan peningkatan aktiviti gunung Lewotobi Laki-Laki, komuniti mesti dipindahkan ke zon selamat untuk mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya.

Herin menambah, jumlah penduduk yang dipindahkan dijangka akan meningkat lagi.

Isnin lalu, pihak berkuasa menaikkan status gunung berapi itu ke tahap kedua tertinggi dan memperluaskan zon pengecualian daripada dua kilometer kepada empat kilometer di sekitar kawahnya.

Abu gunung berapi itu juga memaksa Lapangan Terbang Frans Seda, yang terletak lebih 80km dari kawasan gunung, ditutup sejak Isnin lalu, lapor agensi berita kerajaan, Antara. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA