WAJIMA, 3 Januari- Anggota penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang terselamat ketika pihak berkuasa memberi amaran berkenaan tanah runtuh dan hujan lebat selepas gempa bumi kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 55 orang.
Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter pada 1 Januari yang menggegarkan wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu mencetuskan gelombang tsunami setinggi lebih satu meter, mencetuskan kebakaran dan memusnahkan jalan raya.
Semenanjung Noto di wilayah itu paling teruk terjejas, termasuk beberapa ratus bangunan musnah akibat kebakaran dan runtuhan.
Seramai 55 orang telah disahkan maut dan 22 cedera parah. Bagaimanapun, angka korban dijangka terus meningkat ketika pasukan penyelamat berdepan dengan gegaran susulan dan cuaca buruk untuk mengalihkan runtuhan.
Lebih 31,800 orang berada di tempat perlindungan.
Perdana Menteri Fumio Kishida akan mengadakan mesyuarat pasukan petugas kecemasan pada pagi ini untuk membincangkan tindakan selanjutnya.
Stesen penyiaran awam NHK melaporkan, Kishida berkata pasukan penyelamat kesuntukan masa, kemungkinan masih ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Operasi menyelamat itu dilaksanakan dengan segera susulan Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran hujan lebat di Noto.
"Berhati-hati dengan tanah runtuh sehingga petang Rabu," kata agensi itu.
Sementara itu, di bandar pantai Suzu, Datuk Bandar Masuhiro Izumiya berkata hampir tiada rumah yang selamat.
“Kira-kira 90 peratus rumah (di pekan) musnah sepenuhnya atau hampir sepenuhnya, keadaannya benar-benar bencana", katanya.
Manakala, seorang wanita di pusat perlindungan di bandar Shika memberitahu stesen TV Asahi bahawa dia tidak dapat tidur akibat gegaran susulan.
"Saya takut kerana kita tidak tahu bila gempa seterusnya akan berlaku," katanya.
Hampir 34,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik di wilayah Ishikawa. Banyak bandar tidak mempunyai bekalan air.
Kereta api laju Shinkansen telah beroperasi semula selepas beberapa ribu orang terkandas, selama hampir 24 jam.
Kajian Geologi AS berkata gempa itu mempunyai magnitud 7.5, manakala JMA mengukurnya pada 7.6, mencetuskan amaran tsunami besar.
"Gempa kuat itu adalah salah satu daripada lebih 210 gegaran yang menggegarkan wilayah itu hingga petang Selasa", kata JMA.
Jepun menarik balik semua amaran tsunami selepas ombak sekurang-kurangnya 1.2 meter melanda bandar Wajima dan beberapa siri tsunami yang lebih kecil dilaporkan di tempat lain.
Jepun mengalami ratusan gempa bumi setiap tahun dan sebahagian besarnya tidak menyebabkan kerosakan.
Menurut laporan kerajaan Jepun tahun lalu, jumlah gempa bumi di wilayah Semenanjung Noto telah meningkat secara berterusan sejak 2018.
Negara itu dilanda gempa bumi kuat berukuran 9.0 pada skala Richter di timur laut Jepun pada 2011 dan telah mencetuskan tsunami yang mengakibatkan lebih 18,000 orang terkorban atau hilang.
Ia turut menyebabkan loji atom Fukushima terjejas dan merupakan salah satu bencana nuklear terburuk di dunia.-AFP