fb fb fb fb fb

Letupan terusan: Kosovo tuduh Serbia dalang serangan

Foto REUTERS

PRISTINA, 30 November-Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti menuduh Serbia, negara jirannya sebagai dalang insiden letupan yang menyasarkan infrastruktur negara berkenaan pada Jumaat.

"Serangan ini dilakukan oleh profesional. Kami percaya ia melibatkan kumpulan-kumpulan yang diarahkan oleh Serbia," tambah beliau tanpa memberikan bukti.

Letupan berlaku berhampiran bandar Zubin Potok di utara Kosovo, merosakkan terusan yang membekalkan air kepada sistem penyejuk dua loji kuasa yang menjana sebahagian besar bekalan elektrik negara itu.

Kurti tidak menjelaskan sejauh mana kerosakan yang berlaku, namun memberi amaran bahawa jika terusan tersebut tidak diperbaiki, sebahagian Kosovo mungkin akan mengalami gangguan bekalan elektrik seawal pagi Sabtu.

Sementara itu, Kedutaan Amerika Syarikat di Pristina dalam kenyataan di Facebook mengutuk keras serangan terhadap infrastruktur kritikal di Kosovo.

"Kami sedang memantau situasi ini dengan rapi dan telah menawarkan sokongan penuh kepada kerajaan Kosovo untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab atas serangan jenayah ini dikenalpasti dan diadili," ujar kenyataan tersebut.

Ketegangan antara Kosovo, yang majoriti penduduknya etnik Albania, dan Serbia terus memuncak sejak tamatnya perang antara pasukan Serbia dan pemberontak etnik Albania pada penghujung 1990-an.

Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008, namun Serbia enggan mengiktiraf kedaulatan negara itu.

Kerajaan Kurti sejak beberapa bulan lalu berusaha membongkar sistem perkhidmatan sosial dan pejabat politik yang disokong oleh Belgrade untuk masyarakat Serb di Kosovo.

Serangan pada Jumaat itu berlaku selepas beberapa siri insiden keganasan di utara Kosovo, termasuk bom tangan ke arah bangunan perbandaran dan balai polis minggu ini.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD