fb fb fb fb fb

Letupan penjara Olenivka, bukan disebabkan roket Ukraine- Laporan PBB

(Foto AFP)

KIEV, 5 Oktober- Letupan yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 51 orang tahanan di sebuah penjara di timur Ukraine, tahun lalu, bukan disebabkan oleh roket HIMARS, milik Ukraine.

Laporan yang dikeluarkan oleh pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bersama Misi Pemantau Hak Asasi PBB hari ini, menyatakan siasatan masih diteruskan berhubung letupan itu.

Menurut laporan itu, lebih banyak maklumat diperlukan bagi memahami situasi dengan lebih tepat dan jelas untuk mengaitkannya dengan pihak yang mendalanginya.

"Tahap kerosakan pada dinding, siling, bumbung dan tingkap berek, keadaan katil dua tingkat dan tahap hentaman bukan ciri hentaman peluru HIMARS," kata laporan tersebut.

Misi agensi hak asasi manusia PBB, yang telah berada di Ukraine sejak 2014, tidak mempunyai akses ke tanah jajahan penjara, namun memaklumkan misi tesebut telah memperoleh rumusannya, selepas temu bual dengan lebih 50 saksi dan mangsa yang terselamat serta analisis rakaman video dan foto.

"Malah satu roket HIMARS mungkin akan menyebabkan kerosakan dan kemusnahan berek dan kawasan sekitarnya dalam skala yang jauh lebih besar dan lebih teruk. Saksi juga memberitahu mendengar beberapa letupan", menurut laporan itu.

Pada 29 Julai 2022, sekurang-kurangnya 51 tawanan perang Ukraine maut dalam pengeboman penjara Olenivka yang dikawal Moscow di wilayah timur Donetsk.

Susulan kejadian itu, Rusia dan Ukraine saling menyalahkan antara satu sama lain.-AFP


(Foto fail/AFP)

Media Baharu