fb fb fb fb fb

2 Lelaki ditahan jual pistol kepada suspek tembakan rambang di Thailand

(Foto AFP)

BANGKOK, 5 Oktober- Polis Thailand menahan dua lelaki yang disyaki menjual pistol kepada seorang remaja berusia 14 tahun yang melepaskan tembakan rambang di sebuah pusat beli belah di Bangkok, Selasa lalu sehingga menyebabkan dua orang maut.

Pegawai Kanan Polis di wilayah Yala, selatan Thailand mengesahkan dua suspek itu ditahan awal pagi tadi kerana disyaki menjual pistol kepada remaja tersebut.

Polis turut menggeledah rumah mereka untuk mendapatkan lebih banyak bukti berkaitan kes terbabit.

"Kedua-dua suspek telah dihantar ke Bangkok untuk soal siasat", katanya.

Ratusan pengunjung melarikan diri dari pusat beli-belah tersebut kerana ketakutan ketika tembakan kedengaran pada hari kejadian.

Tujuh orang telah ditembak secara keseluruhan dan seorang wanita dari China dan seorang lagi dari Myanmar terbunuh.

Remaja terbabit telah didakwa atas tuduhan cubaan membunuh, membawa dan melepaskan tembakan di tempat awam dan tiada lesen memiliki senjata api.


(Suspek tembakan rambang di sebuah pusat beli belah di tahan polis/REUTERS)

Dia sedang menjalani ujian psikiatri untuk menilai sama ada dia layak untuk dibicarakan. Dia sebelum ini telah menerima rawatan penyakit mental. Bagaimanapun, telah berhenti mengambil ubat, menurut polis.

Tembakan itu telah mencetuskan gesaan baharu untuk kawalan senjata yang lebih ketat di negara itu.

Insiden tersebut berlaku beberapa hari sebelum ulang tahun pertama pembunuhan beramai-ramai yang melibatkan seorang bekas anggota polis bersenjatakan pistol dan pisau menyerang sebuah taska di utara negara itu yang membunuh 24 kanak-kanak dan 12 orang dewasa.

Menurut pangkalan data antarabangsa, Thailand mempunyai anggaran 10 juta senjata api dalam edaran, satu untuk setiap tujuh rakyat. Ia merupakan satu daripada kadar pemilikan tertinggi di rantau ini.

Pada 2020, seorang askar menembak mati 29 orang dalam kejadian amuk di sebuah pusat beli-belah di Nakhon Ratchasima.

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin semalam berikrar untuk membawa "langkah pencegahan" untuk mencegah tragedi berulang.

Media Baharu