fb fb fb fb fb

Letupan masjid di Afghanistan, 33 terbunuh

KUNDUZ, 23 April- Seramai 33 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam satu letupan di sebuah masjid ketika solat Jumaat di timur Afghanistan, sehari selepas kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap dua serangan berasingan yang meragut nyawa.

Sejak Taliban menguasai Afghanistan selepas menggulingkan kerajaan yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, angka insiden pengeboman menurun namun pejuang jihad dan Daesh meneruskan serangan terhadap sasaran yang dilihat mereka sebagai ajaran sesat.

Siri pengeboman menggegarkan negara itu minggu ini, dengan serangan maut menyasarkan sebuah sekolah dan masjid di kawasan kejiranan Syiah.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, melalui ciapannya berkata, kanak-kanak ialah antara 33 yang maut dalam letupan pada Jumaat di sebuah masjid di wilayah utara Kunduz.

"Kami mengutuk jenayah ini dan merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada mereka yang berduka," katanya dan memaklumkan, 43 lagi cedera dalam letupan berkenaan.


(Pejuang Taliban dan kakitangan perubatan berdiri di luar pintu hospital selepas letupan di daerah Imam Sahib, utara bandar Kunduz/ AFP)

Seorang pegawai perisikan yang enggan dikenali, berkata letupan itu disebabkan bom, namun tidak dapat dipastikan bagaimana ia diletupkan.

Seorang wartawan AFP melihat lubang besar akibat kesan letupan pada dinding masjid Mawlavi Sikandar, yang terkenal dengan ahli sufi di daerah Imam Sahib, utara bandar Kunduz.

Satu bahagian masjid musnah sama sekali akibat letupan itu.

Kumpulan jihad seperti IS sangat membenci sufi yang mereka anggap sebagai bidaah dan menuduh mereka syirik -dosa terbesar dalam Islam - kerana memohon syafaat wali yang mati.

"Pemandangan di masjid itu sungguh mengerikan. Semua yang beribadat di dalam masjid cedera atau terbunuh," kata seorang pekedai, Mohammad Esah, yang membantu mengangkat mangsa untuk dibawa ke hospital daerah kepada AFP.

"Saya melihat 20 hingga 30 mayat," kata seorang lagi penduduk tempatan. - AFP

Media Baharu