BENGALURU, 1 Mac- Sekurang-kurangnya lapan individu cedera apabila bom yang disyaki buatan sendiri meletup semasa waktu makan tengah hari di sebuah kafe di Bengaluru pada Jumaat, kata pihak berkuasa.
Letupan di Kafe Rameshwaram di timur bandar itu berlaku sejurus kira-kira pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan. Ketika itu orang ramai sedang keluar dari pejabat untuk waktu rehat dan makan tengah hari.
"Nampaknya seseorang menyimpan beg dan pergi dan ia meletup... ia bukan letupan besar," kata Ketua Menteri Karnataka Siddaramaiah kepada pemberita.
Penyiasat mengesyaki ia adalah bahan letupan buatan sendiri, kata Siddaramaiah. Letupan itu telah menyebabkan lapan individu cedera di lokasi kejadian.
Menteri Dalam Negeri G. Parameshwara berkata semua yang cedera dibawa ke hospital dan keadaan mereka dalam keadaan stabil.
Pengasas bersama dan Pengarah Urusan Rangkaian Kafe Divya Raghavendra Rao berkata, dia telah dimaklumkan berkenaan letupan itu.
"Ia berlaku di kawasan pelanggan mencuci tangan... sesuatu yang disimpan di dalam beg meletup," kata Rao kepada spemberita stesen tempatan, TV9.
Rakaman CCTV kafe itu telah diberikan kepada polis untuk menyiasat punca letupan.
Video CCTV itu kemudian disiarkan dan memaparkan kepulan asap di restoran dan seorang pekerja menyelamatkan diri dengan menutup telinga.
Namun beberapa orang lelaki mengalami kecedaraan di tangan. Sebatang tiang di dalam kafe itu turut rosak kesan letupan berkenaan.
"Saya mendengar bunyi yang kuat dan bergegas ke tempat kejadian. Asap berkepul di lokasi kejadian," kata seorang saksi Shabarish kepada TV9.
Beberapa individu lain turut mengalami kecederaan di tangan dan kaki selain kad pengenalan bertaburan di sekitar kafe kerana keadaan panik.- REUTERS