CHITTAGONG, 6 Jun - Angka korban akibat letupan kimia depoh kontena perkapalan di Bangladesh kini terus meningkat.
Terbaharu 49 dilaporkan maut termasuk sembilan anggota bomba manakala 100 yang lain cedera.
Media tempatan melaporkan, letupan kuat berlaku di pelabuhan utama selatan Chittagong melibatkan depoh kontena yang menyimpan hidrogen peroksida pada semalam.
Menurut Timbalan Pengarah Bomba Bangladesh, Purna Chandra, usaha menyelamat dan mengeluarkan mayat daripada lokasi kejadian masih diteruskan.
"Usaha menyelamat dan memadam kebakaran berdepan kesukaran terutama kerana api yang marak.
"Anggota kami akan terus bekerja keras hingga semuanya selesai biarpun ada dalam kalangan kami yang terkorban ketika menyelamat,"katanya.
(Anggota bomba membawa mayat keluar dari lokasi selepas berlakunya letupan kebakaran
di depoh kontena yang menyimpan bahan kimia hidrogen peroksida terletak di selatan Bangladesh/FOTO AFP)
Selain berpuluh anggota bomba, beratus pekerja di kawasan tersebut juga turut memberikan bantuan bagi memadamkan kebakaran.
Terdahulu, Ketua Pentadbir Daerah Chittagong, Mominur Rahman memaklumkan bahawa kerajaan telah mengarahkan kira-kira 200 tentera ke depoh untuk menghalang bahan kimia daripada mengalir ke laut. - AFP