fb fb fb fb fb

Hutang isi rumah Korea Selatan paling tinggi

(FOTO REUTERS)

SEOUL, 6 Jun- Korea Selatan mempunyai nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi dalam kalangan 36 ekonomi utama pada suku pertama 2022.

Nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK negara itu berada pada 104.3 peratus dalam tempoh Januari-Mac, diikuti Lebanon (97.8 peratus), Hong Kong (95.3 peratus), Thailand (89.7 peratus) dan Britain (83.9 peratus), kata agensi berita Yonhap memetik data daripada Institute of International Finance (IIF).

Korea Selatan adalah satu-satunya negara yang hutang isi rumahnya melebihi KDNK dalam kalangan 36 negara termasuk Jepun, China, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Tunggakan hutang isi rumah Korea Selatan berada pada 1,752.7 trilion won (RM6.1 trilion) setakat akhir Mac, turun 1.5 trilion won daripada akhir Disember, menurut data daripada Bank of Korea.

Nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK mencatatkan penurunan dalam ekonomi global disebabkan terutama oleh kenaikan kadar faedah.

Nisbah hutang isi rumah Korea Selatan jatuh 0.7 mata peratusan daripada 105 peratus dalam suku sama tahun lalu, demikian menurut data IIF.

(FOTO HIASAN/REUTERS)

Bagaimanapun, kadar pengurangan tahunan Korea Selatan adalah jauh lebih rendah daripada 7.2 peratus di Britain, 4.7 peratus di AS, 4.6 peratus di Jepun dan 2.9 peratus di EU.

Bank pusat negara itu baru-baru ini berkata, kenaikan kadar faedah akan menyebabkan sebahagian daripada pinjaman isi rumah sedia ada menjadi pinjaman tidak berbayar, selain memberi kesan kepada perbelanjaan. -BERNAMA

Media Baharu