fb fb fb fb fb

Lelaki Syria ditahan dalam insiden tembakan berhampiran kedutaan AS di Beirut

Tentera Lubnan meningkatkan kawalan di kedutaan Amerika Syarikat di Awkar susulan kejadian tembakan oleh seorang lelaki Syria / Foto Reuters

BEIRUT, 5 Jun - Seorang lelaki Syria ditahan selepas melepaskan tembakan berhampiran kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Beirut.

Tentera Lubnan berkata tiada kakitangan misi diplomatik cedera dalam insiden tersebut.

Kedutaan yang terletak di pinggir utara Awkar, "telah ditembak oleh seseorang yang berwarganegara Syria", kata tentera dalam satu kenyataan di X.

“Anggota tentera yang ditempatkan di kawasan itu telah berbalas tembakan dan mencederakan penembak," kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa “penembak telah ditangkap dan dihantar ke hospital”.

Tentera memaklumkan insiden serangan itu sedang disiasat.

Kedutaan AS berkata "pada pukul 8.34 pagi waktu tempatan, satu kejadian tembakan telah dilaporkan di sekitar pintu masuk" ke kawasan misi diplomatik keselamatan tinggi.

“Terima kasih kepada tindak balas pantas” tentera Lubnan, pasukan keselamatan “dan pasukan keselamatan Kedutaan kami, kemudahan kami dan pasukan kami selamat” katanya di X.

Tambah kedutaan, siasatan sedang dijalankan dan pihak kedutaan sedang berhubung rapat dengan penguatkuasa undang-undang Beirut.

Misi diplomatik dan ketenteraan AS di Lubnan diserang beberapa kali semasa perang saudara 1975-1990.

Kedutaan itu berpindah ke Awkar selepas diserang serangan berani mati pada April 1983 yang mengorbankan 63 orang.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN