SYDNEY, 1 September – Seorang lelaki ditahan polis Australia selepas merempuh pintu pagar Konsulat Rusia di Sydney dengan sebuah kenderaan.
Polis New South Wales dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan ke lokasi selepas menerima laporan mengenai sebuah kenderaan yang diparkir tanpa kebenaran di laluan masuk ke premis diplomatik itu.
Ketika pegawai cuba berinteraksi dengan pemandu, suspek didakwa bertindak memandu keretanya ke arah pintu pagar konsulat.
“Lelaki berusia 39 tahun itu telah ditahan dan kini sedang membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.
Rakaman yang disiarkan media tempatan menunjukkan sebuah kereta putih dengan dua cermin yang pecah, diletakkan berhampiran bendera Rusia di kawasan rumput dalam kawasan konsulat.
Seorang wartawan AFP yang berada di lokasi melaporkan, engsel pintu utama konsulat kelihatan sedikit bengkok, namun tiada kerosakan besar dikesan.
Insiden itu turut mencuri perhatian kerana melibatkan Simeon Boikov, seorang pengulas pro-Putin yang dikenali sebagai 'Aussie Cossack'. Boikov dilaporkan tinggal di konsulat tersebut sejak 2022 selepas didakwa menyerang seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun semasa satu protes.
Setakat ini, Konsulat Rusia dan Kedutaan Rusia di Australia belum memberikan sebarang maklum balas terhadap insiden tersebut.- AFP
