fb fb fb fb fb

Indonesia perketat kawalan keselamatan

Foto AFP

JAKARTA, 1 September – Pihak berkuasa Indonesia memperketat kawalan keselamatan pada Isnin susulan rusuhan yang mengorbankan enam nyawa, berpunca daripada tekanan ekonomi yang mencetuskan kemarahan terhadap pasukan polis negara itu.

Protes yang mengorbankan nyawa itu, yang bermula minggu lalu susulan cadangan faedah kewangan untuk ahli parlimen, memaksa Presiden Prabowo Subianto menarik semula langkah tersebut.

Demonstrasi yang pada awalnya berlangsung secara aman bertukar ganas selepas tular rakaman yang menunjukkan salah satu pasukan unit polis separa tentera elit melanggar seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan, 21, lewat malam Khamis.

Protest kemudiannya merebak dari ibu kota Jakarta ke bandar-bandar utama lain termasuk Yogyakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di Pulau Jawa, serta Medan di wilayah Sumatera Utara, sekali gus menjadikannya krisis awam paling serius sejak Prabowo memegang kuasa.

Lebih banyak perhimpunan melibatkan pelajar dan penunjuk perasaan dijadual berlangsung di beberapa lokasi di seluruh kepulauan Indonesia.

Polis menubuhkan pusat pemeriksaan di seluruh ibu kota Jakarta pada Isnin, manakala rondaan turut dipergiat di sekitar bandar bagi melindungi orang ramai dan memberikan rasa selamat, menurut jurucakap polis kepada penyiar Kompas TV.

Pada malam Ahad, pasukan keselamatan turut mengerahkan konvoi kenderaan berperisai dan motosikal ke kawasan Parlimen sebagai amaran terhadap sebarang cubaan rusuhan, sekali gus menunjukkan ketegasan pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan.

Krisis yang semakin memuncak itu turut memaksa Presiden Prabowo Subianto membatalkan lawatan rasmi ke China minggu ini, bagi menghadiri perarakan ketenteraan sempena memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin, memberi amaran bahawa pihak tentera dan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap perusuh dan perompak, susulan kejadian rompakan di kediaman Menteri Kewangan baru-baru ini.

Dalam usaha menjangkakan kemungkinan pergolakan yang berterusan, platform media sosial TikTok pada Sabtu menggantung sementara ciri siaran langsung di Indonesia untuk tempoh beberapa hari. Indonesia merupakan salah satu pasaran terbesar TikTok dengan lebih daripada 100 juta pengguna aktif.-AFP

ROSLINA BINTI DIN