fb fb fb fb fb

Rusuhan: Indonesia tingkatkan kawalan keselamatan

Foto AFP

JAKARTA, 1 September – Pihak berkuasa Indonesia mengetatkan kawalan keselamatan pada Isnin susulan rusuhan akibat tekanan ekonomi yang meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan mencetuskan kemarahan rakyat terhadap pasukan polis negara itu.

Protes yang bermula minggu lalu bagi membantah elaun kewangan untuk ahli parlimen bertukar ganas selepas tular rakaman video menunjukkan sebuah kenderaan pasukan elit polis separa tentera melanggar seorang penghantar barang, Affan Kurniawan, 21, lewat Khamis.

Rusuhan kini merebak ke beberapa bandar utama termasuk Yogyakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di Pulau Jawa, serta Medan di Sumatera Utara, menjadikannya krisis terburuk sejak Presiden Prabowo Subianto mengambil alih tampuk pemerintahan.

Lebih banyak perhimpunan pelajar dan penunjuk perasaan dijadualkan di pelbagai lokasi seluruh kepulauan itu pada Isnin.

Polis dilaporkan menempatkan sekatan jalan raya dan rondaan di Jakarta bagi memastikan keselamatan awam. Malah, konvoi kenderaan perisai dan motosikal dikerahkan ke bangunan parlimen lewat Ahad sebagai amaran kepada penunjuk perasaan.

Krisis ini memaksa Prabowo membatalkan lawatan rasmi ke China minggu ini, di mana beliau dijadual menghadiri perbarisan tentera memperingati tamatnya Perang Dunia Kedua.

Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin, memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap perusuh dan perompak selepas rumah Menteri Kewangan dipecah masuk.

Di Makassar, sekurang-kurangnya tiga maut selepas bangunan majlis tempatan dibakar penunjuk perasaan, manakala seorang lagi dibunuh oleh sekumpulan individu kerana disyaki sebagai pegawai risikan, menurut Agensi Bencana tempatan.

Di Yogyakarta, Universiti Amikom mengesahkan kematian seorang penuntutnya, Rheza Sendy Pratama, ketika menyertai protes, namun punca kematiannya masih belum dikenal pasti.

Sebagai langkah berjaga-jaga, TikTok turut menggantung sementara fungsi siaran langsung di Indonesia sejak Sabtu, platform yang mempunyai lebih 100 juta pengguna di negara itu. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD