fb fb fb fb fb

Bunuh budak, lelaki dikenakan hukuman mati oleh kumpulan bersenjata etnik Myanmar

FOTO HIASAN

YANGON, 31 Oktober- Sebuah kumpulan bersenjata etnik di Myanmar menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki kerana kesalahan membunuh dalam perbicaraan terbuka.

Pegawai daripada Tentera Negeri Wa Bersatu (UWSA) menjatuhkan hukuman mati ke atas lelaki itu kerana membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, menurut Wa News Land pada Rabu.

Kanak-kanak itu dibunuh Ogos lalu dalam satu rompakan di sebuah kedai runcit di bandar Hopang, Shan, dan pihak berkuasa menahan lelaki tersebut dua bulan kemudian, lapor Wa News Land.

UWSA adalah kumpulan bersenjata etnik terbaik di Myanmar dan mempunyai hubungan rapat dengan China, yang dikatakan membekalkan banyak senjata mereka.

Kumpulan itu mengendalikan sebuah wilayah semi-autonomi di sempadan dengan wilayah Yunnan di China, yang menggunakan mata wang yuan China serta mendapatkan bekalan elektrik dan internet dari penyedia China.

Mereka mengambil alih Hopang pada Januari selepas sebuah kumpulan bersenjata etnik sekutu menawan wilayah itu daripada tentera dan menyerahkannya kepada UWSA.

Dalam perbicaraan terbuka di sebuah "taman kebudayaan" di bandar tersebut, enam individu lain dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau tempoh penjara yang panjang, tanpa spesifikasi kesalahan mereka.

"Hukuman mati dijatuhkan tetapi kami tidak akan melaksanakan hukuman itu di khalayak umum," kata seorang pegawai kehakiman kepada media tersebut.

Banyak kumpulan bersenjata etnik di Myanmar mempunyai sistem perundangan selari di wilayah yang mereka kuasai di sepanjang sempadan negara.

Pada April, Tentera Perikatan Demokratik Nasional Myanmar (MNDAA) telah melaksanakan hukuman mati ke atas tiga anggota mereka kerana kesalahan membunuh serta menjual senjata dan peluru yang dicuri daripada kumpulan tersebut.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE