NEW YORK, 31 Oktober- Duta Israel ke PBB pada Rabu menggesa pelapor khas PBB Francesca Albanese, meletak jawatan selepas individu itu mengkritik Zionis menghapuskan rakyat Palestin daripada tanah mereka melalui "genosid."
Danny Danon menulis di X, dahulu dikenali sebagai Twitter, mendesak supaya pelapor khas PBB untuk hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki segera meletakkan jawatan.
Danon membuat seruan itu selepas Albanese memberitahu sebuah jawatankuasa di Perhimpunan Agung PBB bahawa perkembangan dalam beberapa bulan terakhir menguatkan lagi penilaiannya bahawa Israel sedang menjalankan kempen genosid terhadap rakyat Palestin.
“Sekali lagi, PBB memberi laluan kepada salah seorang tokoh paling anti-Semitik dalam sejarah moden, memberikannya platform untuk menyebarkan propaganda dan pembohongan yang tidak berasas,” tulis Danon.
Beliau juga menambah, dengan menyasarkan Albanese secara langsung: “Kehadiran anda di PBB adalah memalukan, pengkhianatan kepada semua standard moral. Letak jawatan serta-merta. Tinggalkan kredibiliti anda dan sertai kawan-kawan anda di Hamas dan Hezbollah, tempat yang sesuai untuk anda.”
Francesca Albanese sebelum ini menyatakan bahawa serangan yang dilancarkan Israel adalah “sebahagian daripada perpindahan paksa yang sistematik dan terancang di peringkat negara yang bertujuan untuk menggantikan rakyat Palestin.”
Pelapor khas PBB adalah pakar bebas yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia. Mereka tidak bercakap atas nama PBB itu sendiri.
Pada satu sidang media pada Rabu, Albanese turut mempertahankan dirinya.
"Saya tidak berasa selesa untuk terus mengulas serangan ke atas saya kerana ini bukan mengenai saya. Kisah sebenar ialah rakyat Palestin yang berisiko diusir dari tanah mereka,” katanya.
Beliau turut menyatakan Amerika Syarikat sebagai “penyokong utama dalam tindakan yang dilakukan oleh Israel.”
Duta Amerika Syarikat ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, menulis di X bahawa Albanese “tidak layak untuk jawatannya.”
“PBB tidak seharusnya membenarkan anti-Semitisme daripada pegawai yang bernaung bawah PBB yang bertugas untuk memperjuangkan hak asasi manusia,” tulisnya.-AFP