SINGAPURA, 14 Oktober- Seorang lelaki warga Australia didakwa di Singapura hari ini kerana membuat ancaman bom dalam kapal terbang yang dalam penerbangan menuju ke Perth, Khamis lalu.
Tindakan Hawkins Kevin Francis, 30, itu menimbulkan kekacauan sehingga pesawat terbabit terpaksa berpatah balik dengan diiringi jet pejuang.
Francis kini berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi SG$500,000 (lebih RM1.7 juta) atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian itu, penerbangan TR16 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot terpaksa berpatah balik ke negara asal selepas sejam melakukan perjalanan akibat ancaman tersebut.
Tentera udara Singapura turut mengerahkan jet pejuang untuk mengiringi pesawat terbabit sehingga mendarat dengan selamat.
Polis kemudian mengesahkan ia adalah ugutan palsu.
Mengikut kertas pertuduhan, suspek didakwa memberitahu seorang kru kapal bahawa dia mempunyai bom dan berulang kali menyebut perkataan "bom" kepada seorang kru kapal lain.
Francis dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Langkah-Langkah Anti-Keganasan).
Mahkamah kemudian memerintahkan dia direman ke Institut Kesihatan Mental selama dua minggu untuk pemerhatian psikiatri sebelum dibicarakan semula pada 27 Oktober depan. -AFP
(FOTO HIASAN)