fb fb fb fb fb

Serangan roket Israel bunuh, cederakan wartawan - Tentera Lubnan

(Jenazah wartawan Reuters, Issam Abdallah/AFP)

BEIRUT, 14 Oktober- Tentera Lubnan menyatakan bahawa Israel bertanggungjawab atas serangan rentas sempadan yang membunuh seorang wartawan Reuters serta mencederakan enam yang lain melibatkan wartawan AFP dan Al Jazeera.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak itu memaklumkan Israel telah melepaskan roket yang mengenai kenderaan awam milik pasukan media sehingga mengorbankan Issam Abdallah.

Kementerian Luar Lubnan turut menyalahkan Israel dan melabel serangan tersebut sebagai "pembunuhan disengajakan" serta "jenayah terhadap kebebasan bersuara dan kewartawanan".

Dua orang saksi memaklumkan, kumpulan wartawan dari media berbeza itu lengkap memakai jaket akhbar masing-masing dan topi keledar berada berhampiran perkampungan Alma al-Shaab di selatan Lubnan, berdekatan sempadan Israel sebelum mereka menerima serangan "secara langsung."

Wartawan AFP, Christina Assi dan Dylan Collins berkata, mereka berada jauh dari kawasan konflik sebelum tiba-tiba diserang roket sebanyak dua kali.

"Kami sedang merakam kepulan asap daripada tembakan roket Israel yang menyasarkan sebuah bukit yang jauh di hadapan kami. Tiada aktiviti ketenteraan di sekitar kami dan tiada tembakan roket berhampiran kami.

"Namun, apabila kami memalingkan kamera untuk melihat lebih dekat, kami terkena serangan roket dari arah Israel," jelas Collins.

Wartawan Al-Jazeera, Carmen Joukhadar juga berkata bahawa Israel secara langsung menyasarkan mereka.

"Saya dan rakan wartawan merakam rakaman di atas bukit di kawasan terbuka tanpa ada sebarang tapak tentera berhampiran kami," katanya.

Joukhadar berkata, serangan kedua telah memusnahkan kenderaan mereka. -AFP

rtm
(Rakaman sebelum kumpulan wartawan diserang oleh roket Israel/AFP)

 

Media Baharu