fb fb fb fb fb

Hasil lawatan PM ke tiga negara Asia Tengah berpotensi raih lebih RM2.1 bilion pelaburan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Mengetuai delegasi Malaysia dalam Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Samarkand/Foto PMO

SAMARKAND, 19 Mei - Lebih RM2.1 bilion potensi perdagangan berjaya diraih Malaysia melalui hasil lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara Asia Tengah iaitu Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan.

Kesemua jumlah tersebut meliputi pelbagai bidang ini termasuklah 11 memorandum persefahaman (MoU) telah berjaya dimeterai.

"Kadang-kadang saya merasakan cemas kerana negara ini (Uzbekistan), mereka melihat keupayaan kita sangat tinggi.

"Saya bimbang takut kita tidak dapat memenuhi hasrat mereka sebab itu gesaan saya kepada rakan-rakan lain dan pegawai-pegawai yang terlibat serta syarikat-syarikat, laksanakan lah misi sebaiknya.

"Jaga nama baik kita disamping meningkatkan keupayaan pelaburan dan perdagangan yang akan menguntungkan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Uzbekistan-Malaysia di Samarkand di sini, hari ini.

Forum tersebut turut dihadiri lebih 200 tokoh industri dan ketua-ketua syarikat pelbagai sektor dari Malaysia dan Uzbekistan, yang sempat berdialog bersama beliau bagi mengetahui secara jelas dasar dan hala tuju negara.
 
Antara yang hadir termasuklah syarikat-syarikat Uzbekistan dengan pendapatan tahunan lebih RM1 bilion seperti Eriell Group, Korzinka, Orient Group, Murad Buildings dan Asklepiy Group, selain syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) , Proton, Sunway Group dan Sime Darby.
 
Usai sesi dialog tersebut, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Jamshid Khodjaev menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan serta syarikat Malaysia dan Uzbekistan.

MoU itu turut membabitkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan universiti tempatan.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke tiga negara Asia Tengah iaitu Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan bermula 14 hingga 19 Mei selepas menamatkan lawatan di Qatar.

Lawatan tersebut merupakan jemputan Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Japarov, Presiden Kazakhtan, Kasym-Jomart Tokayev dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev.

GRACE AISYAH KEDAYAN