fb fb fb fb fb

Mayat kedua pendaki Mongolia yang hilang ditemui di Everest

Usukhjargal Tsedendamba, 53, dan Purevsuren Lkhagvajav, 31, kali terakhir berhubung pada petang Ahad/Foto Agensi

KATHMANDU, 19 Mei - Pasukan penyelamat menemui mayat pendaki Mongolia kedua yang hilang di Gunung Everest hari ini.

Penemuan itu sekali gus mengesahkan kematian kedua di puncak tertinggi dunia musim pendakian gunung kali ini.

Mangsa, dikenal pasti sebagai Usukhjargal Tsedendamba, 53, dan Purevsuren Lkhagvajav, 31, kali terakhir berhubung pada petang Ahad dari Kem 4, yang terletak kurang daripada satu kilometer di bawah puncak.

Mayat Tsedendam ditemui di sekitar ketinggian 8,600 meter (28,215 kaki) pada pagi Jumaat selepas beberapa hari operasi mencari dan menyelamat mangsa akibat terjejas dengan keadaan cuaca buruk.

"Mayat kedua juga ditemui pada hari Jumaat dan telah disahkan bahawa ia adalah mangsa kedua sebelum dibawa turun," menurut Pemba Sherpa dari 8k Expeditions selaku penganjur yang mengeluarkan permit pendakian dan penginapan kem pangkalan kedua-duanya.

Sementara itu, mayat Lkhagvajav ditemui pada ketinggian sekitar 8,400 meter berhampiran kawasan yang dipanggil balkoni sebuah pelantar kecil.

Menurut Sherpa, kedua-dua lelaki itu sedang mendaki tanpa pemandu dan menemui walkie-talkie di dalam khemah mereka.

Jabatan pelancongan Nepal dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pasukan lain melihat pasangan itu menuju ke puncak Everest pada pagi Isnin.

Nepal mengeluarkan lebih 900 permit untuk gunungnya tahun ini, termasuk 419 untuk Everest, memperoleh lebih daripada AS$5 juta (RM23.43 juta ) dalam bentuk royalti. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN