fb fb fb fb fb

Lebih ramai keluar dari Sudan tatkala pertempuran reda

KHARTOUM, 25 April– Pertempuran di Sudan reda semalaman selepas tentera dan pasukan separa tentera yang bersaing bersetuju dengan gencatan senjata selama 72 jam tetapi seorang saksi berkata tembakan boleh kedengaran pada Selasa ketika negara-negara Arab, Asia dan Barat berlumba-lumba untuk mengeluarkan rakyat mereka dari negara tersebut.

Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) berkata, AS dan Arab Saudi menjadi pengantara gencatan senjata itu.

Setiausaha Negara A.S. Anthony Blinken mengumumkan perjanjian itu terlebih dahulu dan berkata ia disusuli rundingan sengit selama dua hari kerana kedua-dua pihak tidak mematuhi beberapa perjanjian gencatan senjata sementara sebelum ini.

Perebutan kuasa meletus antara SAF dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 15 April dan telah membunuh sekurang-kurangnya 427 orang, melumpuhkan hospital dan perkhidmatan lain, dan menjadikan kawasan kediaman sebagai zon perang.

"Dalam tempoh ini, Amerika Syarikat menggesa SAF dan RSF untuk segera dan sepenuhnya menyokong gencatan senjata," kata Blinken dalam satu kenyataan.

Seorang saksi Reuters berkata dia mendengar bunyi tembakan di bandar Omdurman selepas tempoh yang agak tenang semalaman.

Kerajaan British melancarkan pemindahan besar-besaran warganya dalam penerbangan tentera dari lapangan terbang di utara Khartoum, dan ianya terbuka kepada mereka yang mempunyai pasport British.

"Kami telah mula menghubungi warganegara secara langsung dan menyediakan laluan untuk berlepas keluar," kata Setiausaha Luar James Cleverly di Twitter.

(Pelarian dari Sudan menunggu sebelum diuruskan Anggota Angkatan Pertahanan Kenya (KDF)
sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta di Nairobi/REUTERS)

Menteri Luar Switzerland berkata pada Selasa bahawa Bern sedang memantau peluang untuk mengeluarkan warganya namun menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan individu yang mempunyai dua kewarganegaraan kerana majoriti warga Switzerland tinggal di negara itu.

Switzerland telah pun menutup kedutaannya dan memindahkan kakitangan serta keluarga mereka, dan telah tiba di Bern awal pagi Selasa.

Menurut seorang wartawan Reuters, "menjelang pengumuman gencatan senjata petang, serangan udara dan pertempuran darat menggegarkan Omdurman, salah satu daripada tiga bandar bersebelahan di wilayah ibu negara, dan terdapat juga pertempuran di ibu negara Khartoum."

Asap gelap menyelubungi langit berhampiran lapangan terbang antarabangsa di tengah Khartoum, berhampiran ibu pejabat tentera, dan ledakan tembakan meriam menggegarkan persekitarannya.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata bahawa keganasan di negara itu "mengakibatkan kebakaran besar yang boleh melanda seluruh wilayah."

Berpuluh-puluh ribu orang, termasuk warga Sudan dan warga negara jiran, telah melarikan diri sejak beberapa hari lalu ke Mesir, Chad dan Sudan Selatan.

Kerajaan luar turut telah berusaha untuk membawa rakyat mereka ke tempat yang selamat.- REUTERS

Media Baharu