fb fb fb fb fb

Zoo Thailand biak Burung Hering Raja yang terancam

THAILAND, 25 April- Empat kali sehari, Watchiradol Phangpanya memakai baju hitam lengan panjang, sarung tangan merah dan balaclava merah, dengan harapan dapat meniru burung Hering berkepala merah yang terancam supaya dapat memberi makan kepada anak burung tersebut.

Anak burung tersebut dilitupi bulu putih yang akan bertukar warna kepada hitam apabila dewasa merupakan Burung Hering Raja yang pertama dibiakkan di Asia dan hanya yang kedua di dunia.

Watchiradol dan rakan-rakannya di Zoo Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand ingin memastikan burung yang dibiakkan dalam kurungan tidak mencederakan manusia supaya mereka lebih bersedia untuk dilepaskan.

"Adalah perlu untuk menyamar sebagai burung, dengan itu membawa mereka melihat kami paling hampir dengan rupa mereka," kata Watchiradol sambil menambah bahawa ia adalah peluang terbaik untuk membangunkan naluri semula jadi burung itu.

Dia memberinya makan daging arnab, rusa, ayam dan tikus untuk mebiasakan pemakanannya secara semula jadi. Selepas memberi makan, ia memanaskan badan di bawah sinar matahari untuk vitamin D yang diperlukan untuk perkembangan fizikal dan tingkah lakunya, kata Watchiradol.

"Adakah nutrisi mencukupi dalam makanannya? Atau adakah ia menerima terlalu banyak? Pada setiap saat, kebimbangannya berterusan," katanya.

Burung Hering berkepala merah pernah memainkan peranan penting dalam ekosistem dengan memakan bangkai haiwan.

Bagaimanapun, pemburuan dan perubahan kepada habitatnya membuatkan spesies itu telah pupus di Thailand dan berkurangan dengan ketara di seluruh dunia.

Selepas hampir dua dekad cuba meningkatkan populasi burung tersebut, zoo itu mula dengan satu lagi telur diinkubasi dalam pemuliharaan.

"Aspek paling penting dalam kejayaan kami adalah untuk meningkatkan ekosistem tapak warisan UNESCO, Santuari Hidupan Liar Huai Kha Khaeng," kata pengarah zoo Thanachon Kensingh, sambil menambah bahawa taman di barat Thailand itu pernah menjadi habitat kepada komuniti terbesar Burung Hering Raja.

"Kami ingin melihat ia terbang sekali lagi di langit Thailand," katanya.- REUTERS

(Watchiradol Phangpanya sedang memberi makan kepada anak Burung Hering Raja/REUTERS)

 

Media Baharu