fb fb fb fb fb

Itali bawa 96 orang keluar dari Sudan

ROME, 25 April– Dua pesawat tentera Itali pada Isnin memindahkan 96 orang keluar dari Sudan, ketika negara-negara Barat, Arab dan Asia bergegas mengeluarkan rakyat mereka dari negara Afrika itu tatkala konflik dan keganasan kembali memuncak.

Permusuhan antara tentera dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 15 April telah mengorbankan sekurang-kurangnya 427 orang, melumpuhkan hospital dan perkhidmatan lain serta menjadikan kawasan kediaman sebagai zon perang.

Kestabilan Sudan merosot secara tiba-tiba akibat konflik yang kembali memuncak sehingga menyebabkan ribuan warga asing terkandas, termasuk diplomat dan pekerja bantuan.

Kedua-dua pesawat tentera itu membawa 83 warga Itali dan 13 warganegara berlainan kerakyatan, kesemuanya dipindahkan dari Khartoum dan dibawa ke Djibouti, tempat pesawat itu berlepas.

Pesawat pertama, Boeing KC-767, mendarat di Lapangan Terbang Ciampino di Rom sekitar 1825 GMT dan kedua dijangka mendarat lewat malam nanti waktu tempatan.

Rakaman menunjukkan pengiring tentera dan orang yang diselamatkan, antaranya kanak-kanak bawah umur dan Duta Itali ke Sudan, keluar dari pesawat sambil tersenyum serta berjabat tangan dengan pegawai kerajaan, termasuk Menteri Luar Antonio Tajani.

"Kami sangat gembira berada di sini kerana telah melalui banyak detik yang sukar," kata Duta Besar Michele Tommasi kepada wartawan.

"Ia bukan satu operasi menyelamat yang mudah. ​​Bagaimanapun, ianya keputusan sangat baik," kata Tajani, sambil menambah bahawa semua warga Itali telah meminta untuk memindahkan mereka keluar dari Sudan.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa orang warga Itali termasuk pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mubaligh telah memutuskan untuk terus tinggal di negara itu, manakala 19 lagi sudah berjaya dibawa keluar ke Mesir dua hari lalu.

Tambah Tajani, pada Ahad beliau telah mengadakan perbualan dengan kedua-dua pemimpin tentera Khartoum dan RSF, serta meminta mereka mencapai gencatan senjata dan mencari persetujuan bersama.- REUTERS

(Menteri Luar Itali Antonio Tajani berjabat tangan dengan Duta Besar Itali ke Sudan,
Michele Tommasi/REUTERS)

Media Baharu