fb fb fb fb fb

Britain telah memindahkan rakyatnya dari Sudan

LONDON, 25 April– Kerajaan Britain berkata pihaknya telah melancarkan pemindahan besar-besaran rakyatnya dari Sudan pada Selasa, selepas puak yang berperang di negara Afrika Utara itu bersetuju dengan gencatan senjata selama 72 jam.

Britain memaklumkan pesawat tentera akan berlepas dari lapangan terbang di luar Khartoum, dan hanya mereka yang mempunyai pasport British dibenarkan menaiki pesawat.

Keutamaan akan diberikan kepada kumpulan keluarga dengan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.

“Kerajaan telah memulakan pemindahan besar-besaran pemegang pasport British dari Sudan dalam penerbangan RAF,” kata Perdana Menteri Rishi Sunak di Twitter. "Saya memberi penghormatan kepada Angkatan Bersenjata British, diplomat dan kakitangan pasukan sempadan."

Setiausaha Luar James Cleverly berkata, "kerajaan telah mula menghubungi warganya secara terus dan menyediakan laluan untuk berlepas keluar negara."

Pada Isnin, kerajaan menganggarkan kira-kira 4,000 warga Britain berada di Sudan dan menteri angkatan tentera James Heappey berkata terdapat pasukan tentera di timur negara itu sedang meninjau kemungkinan pilihan untuk membantu warga Britain pulang.

Pejabat Luar Negeri menyatakan pada Selasa, warga Britain tidak seharusnya pergi ke lapangan terbang, dan memberi amaran keadaan kekal tidak menentu, bermakna keupayaan untuk melakukan pemindahan boleh berubah dalam masa singkat.

Angkatan bersenjata British telah memindahkan kakitangan diplomatik dan ahli keluarga mereka dari Sudan pada Sabtu dan kerajaan telah mendapat kritikan daripada warga Britain yang masih terperangkap di Sudan, bahawa bantuan tidak memadai.

Britain sedang bekerjasama dengan rakan antarabangsanya untuk mengatur pelepasan itu, juga akan terus melihat pilihan lain yang berpotensi untuk membantu warganya meninggalkan Sudan. -REUTERS

(Susulan pertempuran antara Pasukan Sokongan Pantas separa tentera dan
tentera di Khartoum Utara/REUTERS)

Media Baharu