(Anggota bomba Ukraine berjalan di bandar Trostianets pada 29 Mac 2022
setelah bandar itu dirampas kembali dari penguasaan Rusia/AFP)
GENEVA, 30 Mac- Sudah lebih empat juta rakyat Ukraine meninggalkan negara bagi mengelak kesan perang akibat pencerobohan tentera Rusia yang disifatkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “perang tidak masuk akal.”
Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebanyak 4,019,287 rakyat Ukraine telah meninggalkan sempadan negara sejak pencerobohan bermula pada 24 Februari dengan lebih 2.3 juta menuju ke barat Poland.
“Pelarian dari Ukraine kini mencecah empat juta orang, lima minggu selepas serangan Rusia,” kata Ketua UNHCR, Filippo Grandi menerusi Twitter.
“Saya baru tiba di Ukraine. Di Lviv saya akan berbincang dengan pihak berkuasa, PBB dan rakan lain cara untuk mempertingkatkan sokongan kami kepada mereka yang terjejas kesan perang yang tidak masuk akal ini,” kata Grandi.
Jumlah pelarian telah melepasi anggaran awal UNHCR seramai 4 juta orang. Agensi itu turut menyatakan skala dan jumlah pelarian itu tidak pernah berlaku di Eropah sejak berakhirnya perang dunia ke-2.
Wanita dan kanak-kanak menyumbang sehingga 90% daripada jumlah keseluruhan pelarian.
Penduduk lelaki Ukraine berumur 18 – 60 tahun tidak dibenarkan meninggalkan negara kerana mereka boleh dipanggil berkhidmat dalam tentera.
(Pelarian Ukraine menunggu giliran dipindahkan ke sempadan Medyka selepas
menyeberang sempadan Ukraine – Poland pada 29 Mac 2022/AFP)
Sementara itu Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) PBB memaklumkan, selain pelarian Ukraine, hampir 200,000 bukan warga Ukraine yang tinggal, belajar atau bekerja juga telah meninggalkan negara.
Setakat 16 Mac lalu, kira-kira 6.48 juta orang (penduduk Ukraine) hilang tempat tinggal atau menjadi pelarian di negara sendiri, jelas wakil IOM.
"Mereka memerlukan bantuan segera bagi menyelamatkan nyawa," kata organisasi itu pada Rabu. –AFP