fb fb fb fb fb

Krisis ekonomi punca rakyat Sri Lanka berdepan pemotongan elektrik 10 jam sehari

COLOMBO, 30 Mac- Kerajaan Sri Lanka hari ini mula mengenakan pemotongan elektrik 10 jam setiap hari di seluruh negara akibat kehabisan tenaga hidroelektrik, selain kekurangan bahan bakar.

Negara Asia Selatan yang mempunyai 22 juta penduduk itu berada dalam krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan pada 1948, disebabkan kekurangan mata wang asing untuk membayar barangan import.

Pemotongan elektrik selama 10 jam itu terpaksa dilakukan kerana ketiadaan minyak untuk penjana haba.

"Lebih daripada 40 peratus tenaga elektrik Sri Lanka dijana daripada air tetapi kebanyakan takungan semakin surut kerana tiada hujan. Kebanyakan pengeluaran elektrik berasal daripada arang batu dan minyak," petik laporan media AFP.


(FOTO REUTERS)

Kedua-duanya diimport tetapi bekalan terhad kerana negara tidak mempunyai pertukaran asing yang mencukupi untuk membayar bekalan.

Hospital telah menghentikan operasi rutin, manakala seluruh pasar raya terpaksa mencatu makanan ruji, termasuk beras, gula dan susu tepung.

"Kerajaan Sri Lanka sedang mencari bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sambil meminta lebih banyak pinjaman daripada India dan China," tambah AFP.

Krisis ini telah diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 yang telah melumpuhkan pelancongan dan pengiriman wang.

Ramai ahli ekonomi juga menyalahkan salah urus kerajaan termasuk pemotongan cukai selama bertahun-tahun dan defisit bajet.

Media Baharu