(Dos keempat Pfizer-BioNTech atau Moderna Covid-19 diluluskan untuk individu berumur 50 ke atas oleh AS/AFP)
WASHINGTON, 30 Mac- Amerika Syarikat (AS) pada Selasa meluluskan pemberian dos keempat vaksin COVID-19 sama ada Pfizer-BioNTech atau Moderna untuk mereka yang berumur 50 tahun ke atas.
Keputusan itu dibuat pihak berkuasa memberi amaran tentang kemungkinan gelombang baharu yang didorong oleh varian BA.2.
Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) dalam satu kenyataan berkata langkah tersebut diambil berdasarkan bukti yang menunjukkan dos penggalak tambahan diberikan empat bulan selepas yang terakhir, dapat meningkatkan perlindungan terhadap COVID-19 yang teruk.
Selain itu, individu yang mengalami masalah gangguan imun yang telah menerima empat suntikan, dengan terbaharu sekurang-kurangnya empat bulan lalu, kini layak menerima dos kelima.
Menurut kenyataan berkenaan, ini termasuk individu yang hidup dengan pemindahan organ tertentu.
"Vaksin Pfizer akan diberikan kepada individu berumur 12 tahun ke atas yang mengalami gangguan imun, manakala vaksin Moderna khusus untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas.
"Bukti semasa menunjukkan beberapa pengurangan perlindungan dari masa ke masa terhadap hasil serius daripada COVID-19 pada individu yang lebih tua dan mengalami masalah imun terjejas ," kata saintis kanan FDA Peter Marks, menjelaskan keputusan itu.
FDA memaklumkan data dari Israel, yang sudah mengkaji kesan dos keempat diberikan empat bulan selepas dos ketiga terhadap 700,000 orang, mendapati suntikan tambahan itu selamat.
Ia juga memetik data daripada kajian terhadap 154 pekerja kesihatan yang tahap antibodinya, termasuk terhadap varian Delta dan Omicron dipulihkan ke tahap tinggi, dua minggu selepas dos keempat mereka.
(Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) berkata, langkah tersebut diambil berdasarkan bukti
yang menunjukkan dos penggalakdapat meningkatkan perlindungan terhadap COVID-19 yang teruk/AFP)
Katanya, satu kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine bulan ini menunjukkan bahawa tiga dos vaksin mRNA generasi semasa telah mencapai sasaran bagi tindak balas imun yang dihasilkan.
Sementara pemgambilan tiga dos vaksin membawa imuniti ke tahap yang lebih tinggi, dos keempat memulihkan tahap antibodi seperti keadaan asal.
Bagaimanapun, pakar berpendapat manfaat kepada golongan muda dan sihat masih belum jelas, dan mengatakan vaksin baharu mungkin perlu dibangunkan kerana virus itu terus bermutasi.-AFP