fb fb fb fb fb

Separuh daripada kehamilan global 'tidak disengajakan' - PBB

PARIS, 30 Mac - Hampir separuh daripada seluruh kehamilan di seluruh dunia adalah 'tidak disengajakan', demikian menurut Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA).

Termasuk dalam kategori itu ialah kehamilan tanpa rela atau tanpa persetujuan.

Berdasarkan laporan terbaharu UNFPA, sebanyak 121 juta kehamilan tidak disengajakan dilaporkan setiap tahun iaitu bersamaan 331,000 sehari.

Daripada jumlah itu lebih 60% berakhir dengan pengguguran kandungan, dengan hampir separuh daripadanya secara tidak selamat.

(Laporan terbaharu UNFPA, sebanyak 121 juta kehamilan tidak disengajakan dilaporkan setiap tahun iaitu bersamaan 331,000 sehari/PBB)

Menurut Pengarah Eksekutif UNFPA, Natalia Kanem, laporan tersebut mengetengahkan gabungan faktor yang menafikan hak asasi golongan wanita untuk menentukan sama ada mereka mahu hamil atau sebaliknya.

Antara faktor yang dikenal pasti ialah ketidakseimbangan gender, keganasan seksual dan akses terhad kepada alat atau ubat pencegah kehamilan dan kemudahan menggugurkan kandungan.

Konflik seperti peperangan di Ukraine dijangka menyebabkan jumlah kehamilan yang dikategorikan sebagai tidak disengajakan melonjak lebih tinggi.

"Terdapat pencari mangsa dan pedagang haram yang melihat tragedi dan peperangan sebagai kesempatan terbuka untuk menjadikan wanita dan kanak-kanak perempuan sasaran mereka.

"Berdasarkan kajian, dianggarkan lebih 20% wanita yang dipindahkan akibat konflik mengalami keganasan seksual. Saya percaya kadar sebenar yang tidak dilaporkan adalah jauh lebih tinggi,' katanya.

Menurut Kanem, konflik di Afghanistan dijangka menyaksikan jumlah kes kehamilan tidak disengajakan mencecah 4.8 juta menjelang 2025. -AFP

Media Baharu