TEHRAN, 21 September - Pasar-pasar di Tehran dipenuhi anak patung Labubu berwarna-warni apabila golongan muda Iran semakin menggemari figura bermata bulat dan bertaring tajam itu.
Walaupun berdepan kesukaran ekonomi akibat sekatan antarabangsa, anak patung Labubu tetap meraih populariti dalam kalangan masyarakat muda Iran merentas pelbagai kelas sosial.
Media tempatan pada 31 Ogos lalu melaporkan lebih sejuta unit Labubu sudah terjual dalam tempoh beberapa bulan, dengan anggaran jualan mencecah AS$7.2 juta.
Labubu yang dihasilkan syarikat Pop Mart dari China dipasarkan dalam bentuk “blind box”, pembeli hanya mengetahui rekaan figura selepas dibuka.
Namun, akhbar Farhikhtegan Iran melaporkan banyak anak patung itu sebenarnya tiruan yang diimport dan dijual sebagai keluaran asli.
Fenomena Labubu di Iran turut dipacu sokongan selebriti antarabangsa termasuk ahli kumpulan K-pop Blackpink, Lisa, penyanyi Rihanna dan bekas bintang bola sepak David Beckham.
Di Iran sendiri, minat terhadap Labubu melonjak selepas pelakon terkenal Mohammadreza Golzar, yang memiliki 13 juta pengikut di Instagram, memuat naik hantaran bergambar bersama figura itu.-REUTERS