TAIPEI, 23 September - Sebuah tasik takungan pecah di kawasan pantai timur Taiwan menyebabkan sungai melimpah, jambatan runtuh serta membanjiri sebuah kampung pada Selasa.
Menurut kerajaan Taiwan, tasik berkenaan dianggarkan menyimpan sehingga 91 juta tan air, bersamaan kapasiti kira-kira 14,560 kolam renang bersaiz Olimpik.
Tasik takungan itu terbentuk selepas kejadian tanah runtuh pada Julai lalu, berikutan hujan lebat yang dicetuskan oleh Taufan Wipha.
Sementara itu, Wilayah pesisir China mula mengosongkan kapal, bot nelayan serta menggantung perkhidmatan kereta api dan penerbangan pada Selasa menjelang ketibaan Taufan Ragasa, siklon tropika paling kuat di dunia tahun ini.
Rakaman televisyen pusat China (CCTV) menunjukkan ribuan kapal diarahkan keluar dari pelabuhan, semua feri penumpang di Shenzhen dihentikan operasi, manakala bot nelayan kembali ke darat.
Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan, pihak berkuasa Guangdong telah memindahkan lebih 370,000 penduduk.
Penduduk, khususnya petani, turut bertindak pantas menuai hasil buah-buahan serta memangkas dahan pokok bagi mengurangkan risiko kerosakan.
Taufan Ragasa dijangka mengekalkan kekuatan sebagai super taufan ketika menghampiri pesisir Guangdong, sekali gus memberi kesan kepada Hong Kong, tanah besar China dan Taiwan selepas melanda utara Filipina pada Isnin.
Pendaratan di kawasan pantai Guangdong dijangka berlaku antara tengah hari hingga Rabu.-REUTERS