RAMALLAH, 23 September - Rakyat Palestin berhimpun di Ramallah, Tebing Barat yang diduduki Israel, bagi menyatakan sokongan terhadap langkah beberapa negara Barat mengiktiraf kewujudan negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Perhimpunan itu menyaksikan orang ramai mengibarkan bendera Kanada, Belanda serta beberapa negara lain sehari selepas puluhan pemimpin dunia berkumpul di PBB untuk menyokong penubuhan sebuah negara Palestin.
Ia dianggap sebagai anjakan diplomatik penting selepas hampir dua tahun perang berlarutan, meskipun mendapat tentangan keras Israel serta sekutunya, Amerika Syarikat.
Pada Ahad, Britain, Kanada, Australia dan Portugal secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, langkah yang didorong rasa kecewa terhadap perang di Gaza serta usaha menghidupkan kembali penyelesaian dua negara. Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan Israel.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut mengumumkan negaranya akan mengiktiraf Palestin pada satu mesyuarat bersama Arab Saudi.
Keputusan negara-negara Barat itu sekali gus menyertai lebih 140 negara lain yang telah lama menyokong aspirasi rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka daripada wilayah-wilayah yang kini masih diduduki Israel.
Namun kerajaan Israel yang kini diterajui sayap paling kanan dalam sejarahnya bertegas tidak akan membenarkan kewujudan negara Palestin. Sebaliknya rejim itu terus meneruskan serangan terhadap Hamas di Gaza.
Tindakan ketenteraan Israel di Gaza mengundang kecaman masyarakat antarabangsa selepas lebih 65,000 rakyat Palestin terkorban, menurut angka yang diumumkan pihak berkuasa kesihatan tempatan.-REUTERS