(FOTO AFP)
LAGOS, 17 Oktober- Lebih 600 orang maut dalam banjir terburuk dalam tempoh sedekad di Nigeria, menurut angka baharu yang dikeluarkan kerajaan, semalam.
Kenyataan Kementerian Hal Ehwal Kemanusiaan di Twitter memaklumkan, lebih 1.3 juta orang meninggalkan kediaman mereka.
"Malangnya, seramai 603 orang terkorban setakat hari ini," kata Menteri Hal Ehwal Kemanusiaan, Sadiya Umar Farouq.
Jumlah korban pada minggu lepas seramai 500, tetapi meningkat berikutan beberapa kerajaan negeri tidak berseda menghadapi banjir, kata Umar Farouq.
Tambahnya, banjir yang berlaku juga memusnahkan sepenuhnya lebih 82,000 rumah dan hampir 110,000 hektar tanah ladang.
(Sebuah rumah tenggelam di kampung Ogbaru berikutan hujan lebat
di negeri Anambra, Nigeria pada 14 Oktober 2022/AFP)
Menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA), walaupun musim hujan biasanya bermula sekitar Jun, hujan lebat berlaku sejak Ogos lalu.
Pada 2012, seramai 363 orang maut dan lebih 2.1 juta kehilangan tempat tinggal akibat banjir.
Afrika Sub-Sahara terjejas secara tidak seimbang oleh perubahan iklim dan banyak ekonominya sudah bergelut akibat kesan riak perang Rusia-Ukraine.
Pengeluar beras telah memberi amaran bahawa banjir yang dahsyat boleh menjejaskan harga di negara yang mempunyai kira-kira 200 juta penduduk, dengan import beras diharamkan untuk merangsang pengeluaran tempatan.
Program Makanan Sedunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB berkata bulan lalu Nigeria adalah antara enam negara yang berdepan risiko tinggi tahap kelaparan yang teruk.-AFP