fb fb fb fb fb

Alibaba nafi dakwaan bantu ketenteraan China sasarkan Amerika Syarikat

Foto Reuters

BEIJING, 15 November - Gergasi teknologi China, Alibaba, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa syarikat itu membantu Beijing menyasarkan Amerika Syarikat, sambil menyifatkan laporan berkenaan sebagai “sama sekali tidak benar”.

Akhbar Financial Times sebelum ini mendedahkan satu memo White House yang mendakwa Alibaba menyediakan sokongan teknologi kepada operasi ketenteraan China terhadap sasaran di Amerika Syarikat, termasuk menyerahkan data pelanggan seperti alamat IP, maklumat WiFi dan rekod pembayaran kepada pihak berkuasa China serta Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).

Financial Times bagaimanapun menyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak dapat disahkan secara bebas, namun memo berkenaan menggambarkan tindakan itu sebagai ancaman kepada keselamatan Amerika Syarikat.

Jurucakap Kumpulan Alibaba dalam kenyataan menegaskan bahawa semua dakwaan dan unsur membayangkan dalam laporan tersebut adalah tidak benar, sambil menyifatkannya sebagai “gerakan publisiti berniat jahat” yang bertujuan menggugat usaha Presiden Donald Trump mencapai perjanjian perdagangan baharu dengan China.

Kedutaan China di Amerika Syarikat turut menafikan dakwaan sama, dengan jurucakapnya, Liu Pengyu, menegaskan bahawa kerajaan China tidak pernah mengarahkan syarikat atau individu untuk mengumpul atau menyerahkan data luar negara yang melanggar undang-undang tempatan.

Laporan berkenaan turut meningkatkan kebimbangan di Washington mengenai potensi penggunaan teknologi canggih oleh China bagi tujuan pengintipan.

Khamis lepas, syarikat kecerdasan buatan berpangkalan di California, Anthropic, memaklumkan bahawa mereka telah mengesan serta menumpaskan kempen siber-espionaj yang didakwa dijalankan secara autonomi oleh AI, dan mengaitkannya dengan kumpulan tajaan negara China dikenali sebagai GTG-1002.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, ketika diminta mengulas laporan tersebut, berkata beliau tidak mengetahui butiran penuh namun menegaskan Beijing sentiasa komited memerangi sebarang kegiatan penggodaman.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH