fb fb fb fb fb

Lebih 50 parti politik mendaftar untuk sertai pilihan raya umum Myanmar

Pilihan raya umum dijangka pada 28 Disember / Foto AFP

HANOI, 20 Ogos - Sejumlah 55 parti politik telah mendaftar untuk menyertai Pilihan Raya Umum Myanmar yang akan datang, dengan sembilan daripadanya dijangka bertanding di seluruh negara, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) yang memetik stesen penyiaran milik kerajaan, Myanmar Radio and Television (MRTV).

MRTV sebelum ini melaporkan yang Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan Myanmar mengumumkan negara itu merancang untuk melancarkan fasa pertama pilihan raya umum pada 28 Disember, sebagai sebahagian pelan tindakan bagi mengadakan pilihan raya pertama dalam tempoh hampir lima tahun.

Pilihan raya itu akan dijalankan dalam beberapa fasa, namun tarikh bagi fasa berikutnya belum ditentukan dan akan diumumkan kemudian, bergantung kepada situasi keselamatan.

Pada Jun, akhbar harian milik kerajaan The Global New Light of Myanmar memetik kenyataan ketua kerajaan tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, bahawa pilihan raya umum dijangka diadakan antara Disember 2025 dan Januari 2026. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN