fb fb fb fb fb

Israel mahu Hamas bebaskan semua tawanan perang

Hamas tuntut pembebasan 200 banduan Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak di penjara Israel / Foto AFP

BAITULMAQDIS, 20 Ogos - Israel tetap angkuh dengan pendirian untuk menuntut pembebasan semua tebusan dalam sebarang perjanjian gencatan senjata di Gaza, selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata baharu.

Negara perantara sedang menunggu maklum balas rasmi daripada Israel terhadap pelan tersebut, sehari selepas Hamas memberi isyarat kesediaannya untuk memulakan semula rundingan bagi menamatkan perang yang telah berlangsung hampir dua tahun.

Hamas menyatakan, perjanjian itu membabitkan pembebasan 200 banduan Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak di penjara Israel, sebagai balasan Hamas akan menyerahkan 10 tebusan yang masih hidup serta 18 mayat.

Perantara Qatar menyatakan rasa optimis sambil menyatakan bahawa cadangan terbaharu itu "hampir sama" dengan versi terdahulu yang telah dipersetujui oleh Israel.

Seorang pegawai kanan Israel memberitahu bahawa pendirian rejim tidak berubah dan menuntut pembebasan semua tebusan dalam sebarang perjanjian.

Jurucakap kementerian luar negeri Qatar, Majed al-Ansari, berkata pada hari Selasa bahawa Hamas telah memberikan maklum balas yang sangat positif, dan ia benar-benar hampir sama dengan apa yang telah dipersetujui oleh pihak Israel sebelum ini.

Qatar dan Mesir dengan sokongan Amerika Syarikat, telah menjadi perantara dalam rundingan diplomasi ini. - AFP

HASRON BIN HASSAN