AFGHANISTAN, 20 Ogos - Sekurang-kurangnya 76 orang termasuk 17 kanak-kanak maut selepas sebuah bas penumpang yang membawa pelarian di barat Afghanistan, yang baru sahaja pulang dari negara jiran Iran, terbakar selepas berlanggar dengan sebuah lori dan motosikal.
Menurut jurucakap kerajaan, Ahmadullah Muttaqi dan pasukan polis, semua yang berada di dalam bas tersebut terbunuh, begitu juga dengan dua orang dari kenderaan lain.
"Semua penumpang adalah pelarian yang telah menaiki kenderaan di Islam Qala," kata jurucakap gabenor wilayah, Mohammad Yousuf Saeedi, bandar Islam Qala merujuk kepada sebuah kawasan berhampiran sempadan Afghanistan–Iran.
Polis Herat pula berkata kemalangan berlaku disebabkan "kecuaian dan kelajuan melampau" pemandu bas.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Afghanistan, di mana banyak jalan raya rosak akibat konflik selama beberapa dekad dan peraturan pemanduan tidak dikuatkuasakan dengan tegas.
Sejak tahun 1970-an, jutaan rakyat Afghanistan telah melarikan diri ke Iran dan Pakistan, dengan gelombang utama berlaku semasa pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan pada tahun 1979 dan selepas Taliban kembali berkuasa pada tahun 2021. - AFP