fb fb fb fb fb

Iran hasilkan peluru berpandu lebih canggih, siap siaga hadapi Israel

Foto fail

TEHRAN, 20 Ogos - Iran menegaskan bersedia menghadapi sebarang serangan baharu Israel.

Keyakinan itu disuarakan selepas negara itu berjaya membangunkan peluru berpandu dengan keupayaan lebih canggih berbanding yang digunakan dalam perang 12 hari lalu.

Menteri Pertahanan, Aziz Nassirzadeh berkata, peluru berpandu yang digunakan ketika konflik pertengahan Jun lepas dihasilkan beberapa tahun sebelum itu.

“Hari ini, kita memiliki peluru berpandu dengan keupayaan jauh lebih hebat.

Jika musuh Zionis memulakan 'pengembaraan' semula, kita pasti akan menggunakannya,” katanya.

Pada pertengahan Jun, Israel melancarkan kempen pengeboman terhadap Iran sehingga mencetuskan perang, dengan Teheran bertindak balas menggunakan serangan peluru berpandu dan dron.

Serangan Israel mengorbankan ratusan orang termasuk komander tentera kanan dan saintis nuklear, selain mengenai kawasan penempatan.

Amerika Syarikat turut menyertai konflik singkat itu dengan menyerang beberapa fasiliti nuklear Iran.

Bagaimanapun, gencatan senjata tercapai pada 24 Jun lalu.

Walaupun begitu, pemimpin Iran memberi amaran konflik boleh tercetus pada bila-bila masa.

Naib Presiden Pertama, Mohammad Reza Aref sebelum ini menegaskan bahawa Iran mesti sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

Media tempatan melaporkan tentera Iran akan memulakan latihan ketenteraan dua hari bermula Khamis ini, melibatkan pelbagai peluru berpandu jarak dekat dan sederhana.

Kuasa Barat sebelum ini berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap program peluru berpandu Iran yang didakwa mengancam keselamatan serantau.

Pada Julai lalu, Perancis menggesa perjanjian komprehensif dengan Teheran merangkumi program nuklear, peluru berpandu serta pengaruhnya di rantau itu.

Namun, Iran menegaskan keupayaan ketenteraannya tidak akan dijadikan bahan rundingan. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN