DAKAR, 13 Disember - Lebih 49 juta orang dijangka mengalami kebuluran di Barat dan Tengah Afrika tahun depan susulan konflik perang, perubahan cuaca serta kenaikan harga makanan yang melambung, kata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.
Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4% berbanding 2023.
Di kawasan yang berdekatan dengan pantai, bilangan orangyang berdepan dengan kebuluran dijangka mencecah 6.2 juta pada 2024. Jumlah tersebut meningkat kepada 16% tahun ini, menurut analisis yang dikeluarkan oleh Program Makanan Dunia(WFP) PBB dan agensi kemanusiaan lain.
"Kebuluran menjadi perkara paling besar di rantau ini, namun pembiayaan bagi menanganinya tidak seiring", kata Margot Vandervelden, pemangku pengarah wilayah WFP untuk Afrika Barat.
"Pembiayaan yang tidak mencukupi bermakna mereka tidak makan dan mengambil makanan yang kurang berkhasiat, sekali gus meletakkan mereka berisiko untuk kembali ke fasa krisis atau kecemasan, mengekalkan kitaran kelaparan dan kekurangan zat makanan," katanya.
Menurut analisis WFP lagi, Lebih daripada dua pertiga isi rumah di Afrika Barat dan Tengah tidak mampu mendapatkan diet yang sihat.
Tambah Margot, kos diet berkhasiat harian di negara Sahel tengah Burkina Faso, Mali dan Niger adalah 110% lebih tinggi daripada gaji minimum harian di rantau itu.
Negara-negara Sahel sedang menghadapi pemberontakan Islam yang telah menyebabkan kira-kira empat juta orang kehilangan tempat tinggal dari rumah dan ladang mereka, menurut angka yang dikeluarkan oleh PBB.
Krisis Sahel telah menyebabkan orang ramai mencari perlindungan di negara jiran seperti Ivory Coast, Togo dan Ghana, yang sedang bergelut dengan krisis ekonomi terburuk.
"Hampir 80% orang yang kini berada dalam krisis kebuluran berada di kawasan yang terjejas oleh konflik," kata Ollo Sib, penasihat penyelidikan kanan untuk WFP.
Sib tuut memberi amaran bahawa tanpa campur tangan, keadaan boleh menjadi lebih buruk di kawasan tertentu memandangkan lebih 2.6 juta orang berisiko mengalami kebuluran.-AFP